Wednesday, May 31, 2006

Umat Islam hina kerana rasuah

Oleh Khairul Azlam Mohmad MARANG, 30 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penyakit menggunakan wang kerana pangkat dan kebesaran membawa bencana kepada sesuatu umat.



“Kita tidak boleh menyelamatkan umat kita melainkan dengan Islam, dengan berjihad pada jalan Allah dan membuang penyakit-penyakit rasuah termasuk menggunakan wang untuk terus berkuasa,” ujarnya pada satu majlis di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, tambahnya semua penyakit itu perlu dibuang segera.

“Jika tidak, kita akan dilaknat di dunia dan akhirat,” ujarnya lagi.

Menurutnya, penyakit yang melanda umat Islam hari ini seperti rasuah telah menjadikan mereka bangsa yang hina kerana kemuliaan hanya dengan Islam.

Jelasnya, Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran kepada umat Islam bahawa Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah dan kedua-duanya di dalam neraka.

Beliau mengingatkan umat Islam bahawa rasuah dan meninggalkan jihad yang menimpa Bani Israil menyebabkan mereka menjadi bangsa yang hina serta dilaknat oleh Allah.

Katanya, walaupun di kalangan mereka dilantik rasul-rasul dan nabi yang paling ramai dan berbangga dengan keturunan Nabi Yaakob tetapi mereka menjadi hina kerana tidak menerima perintah Allah SWT.

Ini, katanya kerana disebabkan mereka meninggalkan perintah jihad fisabilillah iaitu perjuangan menegakkan kalimah Allah.

“Allah memberi kemuliaan kepada sesuatu umat itu dengan Islam, bukan dengan keturunan dan kekayaan,” katanya.

Tambahnya, penyakit kedua yang melanda Bani Israil ialah rasuah.

Katanya, mereka dipengaruhi oleh wang serta menjadikannya sebagai alat untuk mencapai kuasa pemerintahan untuk membeli manusia bagi menghasilkan sesuatu hajat dalam kehidupan di dunia tanpa mempedulikan kepada benar dan salah.

Tambahnya lagi, mereka memilih pemimpin dan ketua yang boleh memberi wang dan harta bagi mencapai sesuatu impian hidup di dunia ini. - mks.

No comments: