Saturday, May 06, 2006

Dato' Shahrir dinobat wira, Abdullah pula lemah

Harakahdaily MACHANG, 5 Mei (Hrkh) - Dato' Shahrir Samad hari ini dinobat sebagai wira kerana mampu mempertahankan integritinya, namun sebaliknya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dianggap cukup lemah dan kurang bermaya.

Semangat keperwiraannya terserlah biar pun hasrat murni mempertahankan integriti negara 'dipersendakan' wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) lain. Bagi pembangkang dan orang ramai anggota parlimen Johor Bahru itu dianggap mempunyai ketulenan perjuangan.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, Presiden Umno sekali lagi menerima tamparan hebat apabila orang kanannya sanggup mempertahankan kejujuran bagi memperlihatkan sebuah kerajaan yang berkualiti, namun malangnya ia ditolak majoriti pemimpin BN lain.

"Sedangkan sebelum ini Perdana Menteri melaung-laung mahukan sebuah kerajaan yang telus, bersih daripada segala elemen rasuah, namun apabila usaha Shahrir mahu merujuk kes seorang anggota parlimen ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ia tidak pula mendapat sokongan anggota-anggota Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) BN.

"Tindakan Shahrir adalah untuk mempertahankan integriti kerajaan yang ada sekarang, namun gagal kerana pemimpin BN lain mempunyai pandangan berbeza. Dalam isu ini Pengerusi BBC BN adalah seorang wira," katanya selepas menyampaikan ceramah di Kampung Pek Timur, dekat sini, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 50 ahli Umno dari Cawangan Kampung Pek Timur, Pangkal Mempelam dan Kampung Raja menyerah borang menyertai PAS kepada Husam. Ia diketuai Pengerusi Tetap Umno Pek Timur, Abdul Wahad Abbas.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Machang, Dato' Hassan Muhammad, Adun Kemuning, Haji Zakaria Yaakub, Penyelia Parlimen Machang, Ustaz Abdul Rahman Salleh dan Setiausaha PAS kawasan, Abdul Kadir Othman.

Semalam Shahrir mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi BBC BN apabila pendiriannnya menyokong usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkaitan tindakan seorang anggota Parlimen BN didakwa campur tangan urusan dalaman Jabatan Kastam ditolak majoriti anggota parlimen BN termasuk menteri.

Usul itu timbul sebagai respon terhadap laporan akhbar yang bertajuk 'Customs Ignore MP's Request' di mana seorang anggota Parlimen BN didakwa meminta Jabatan Kastam "tutup sebelah mata" dalam satu kes melibatkan kayu balak yang diimport seorang usahawan, dari negara jiran.

Husam berkata, sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memperlekehkan kepemimpinan Abdullah kerana tidak konsisten apabila menolak pembinaan jambatan indah di Johor.

"Sedangkan jambatan itu dipertahankan Perdana Menteri sendiri pada Febuari lalu, bagaimanapun sekarang bertukar menjadi sebaliknya sehingga hampir RM100 juta wang rakyat terpaksa dikorbankan untuk dibayar kepada kontraktor yang diberi tanggungjawab membina kerja-kerja awal jambatan terbabit," ujarnya.

Pengerusi BBC PAS Kelantan, Haji Zakaria Yaakub berkata, kecelaruan kepemimpinan Perdana Menteri sekarang mulai terserlah dan beliau gagal dalam banyak tindakannya sebelum ini.

Penyelia Parlimen Kuala Krai, Ustaz Zamzuri Mat Lazim berpendapat sudah sampai masanya Shahrir meninggalkan perjuangan lama kerana ia ternyata tidak serasi dengan kejujuran yang dimilikinya.

No comments: