Tuesday, May 16, 2006

Abdullah gagal bela Islam

Mon | May 15, 06 | 12:19:04 PM
Oleh Khairul Azlam Mohmad KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Hrkh) - Ahli Majlis Tertinggi Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Dr Badrul Amin Baharom berkata, kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Badawi gagal menjaga kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Bahkan, katanya pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu lebih bertindak bagi menyekat golongan yang mahu melaksanakan kerja-kerja Islam.

“Pemimpin negara yang ada hari ini di bawah Pak Lah Badawi gagal menjaga agama dan orang Melayu. Kita minta tolonglah supaya dia (Abdullah) jangan halang, sekat orang yang hendak buat kerja-kerja agama ini,” ujarnya ketika berucap pada Ceramah Pelancaran Dana Pilihan Raya di Pasti Mengabang Tengah Batu Burok, baru-baru ini.

Katanya, Umno telah gagal menjaga kepentingan agama dan umat Islam di negara ini meski pun menjadi tulang belakang kerajaan BN.

Menurutnya, pelbagai isu yang menyentuh kredibiliti agama dan umat Islam berlaku di bawah kepimpinan kerajaan Islam Hadhari hari ini.

“Kredibiliti agama dan umat Islam tercemar dengan isu-isu murtad, memorandum menteri kabinet Artikel 121(A), IFC yang dibawa oleh Sisters in Islam, kumpulan Artikel 11 (kebebasan beragama), gejala sosial yang kronik, penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dengan lukisan kartun, arak, dadah dan perjudian,” jelasnya.

Di samping itu, katanya, wujud pula kumpulan Artikel 11 bagi menuntut kerajaan meluluskan undang-undang kebebasan beragama tanpa mengira bangsa di negara ini.

Menurutnya, golongan tersebut meminta kerajaan memberikan kebenaran terhadap semua orang bebas memilih agama masing-masing.

“Jika kerajaan Islam Hadhari ini meluluskan undang-undang itu, sekarang ada 250 ribu orang Melayu yang beragama Islam mahu murtad,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa Islam membenarkan kebebasan beragama itu selagi tidak mengganggu gugat penganut beragama Islam.

Justeru itu, katanya pemimpin Umno yang ada hari ini tidak serius bagi menentang kejahatan, kemungkaran serta maksiat yang berlaku dalam negara.

1 comment: