Wednesday, May 31, 2006

Lima sukarelawan PAS selamat tiba di Yogyakarta

Oleh Ali Bukhari Amir dari Yogyakarta Yogyakarta, 31 Mei (Hrkh) - Lima sukarelawan bantuan kemanusiaan PAS selamat tiba di Yogyakarta, Jawa Barat di Pos Penanggulangan Bencana (P2B) Partai Keadilan Sejahtera (PKS), cawangan wilayah Jogjakarta di sini sekitar 2:35 pagi waktu tempatan.
Mereka adalah Bendahari Agung PAS, Dr. Hatta Ramli; Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Amal), Jamaluddin Elias; Petugas Amal, Onn Jaafar; Dr Ahmad Yunus dan wartawan Harakah.

Agihan kedudukan para sukarelawan itu akan diputuskan pada pagi ini melalui perbincangan bersama para petugas PKS di sini.

Menurut seorang petugas P2B di sini, Imam, 25, sukarelawan di sini dibahagikan kepada beberapa tempat yang terjejas teruk.

“Sekitar Bantul kita bahagikan kepada dua posko (pusat khidmat sukarelawan), iaitu di Bantul sendiri dan di Kota,” kata beliau.

Selain itu, tambah Imam, antara kawasan lain yang turut diberi bantuan ialah Kabupaten Sleman yang terjejas teruk.

Gempa bumi sekitar Gunung Merapi dekat sini mencatatkan perubahan sebanyak tiga kali ganda sejak gempa awal pagi Sabtu lalu menyebabkan ketidakstabilan di beberapa bahagian pada gunung tersebut.

Sejak Sabtu lalu, dilaporkan gunung itu menyembur awan panas sebanyak 150 kali sehari.

Penduduk di sekitar kawasan dekat gunung tersebut diarah berpindah awal bulan ini.

P2B di sini turut membuka lima posko selain Sleman, Bantul dan Kota, iaitu Gunung Kidul dan Kulon Progo. - mks

No comments: