Saturday, May 06, 2006

MB Pahang patut berguru dengan MB Kelantan

Dewan Undangan Negeri Pahang baru-baru ini telah menyaksikan satu aksi dan kelakuan menjijikkan daripada seorang ahli dewan yang juga merupakan seorang Menteri Besar. Di dalam dewan yang mulia tersebut, MB Pahang telah mengeluarkan perkataan yang biadap, tidak bermoral dan menjijikkan terhadap wakil media. Kemarahan beliau terhadap media yang kononnya memutar belitkan kata-kata beliau menjadikan MB Pahang ketika itu seperti seorang yang tidak berakal dan tidak waras.

Lebih mendukacitakan, di dalam dewan ketika itu terdiri daripada ramai kakitangan awam dan kerajaan serta pelajar-pelajar. Sudah tentu pelajar-pelajar ingin menyaksikan satu perbahasan atau hujah yang bernas, berilmu serta berakhlak daripada ahli-ahli politik yang berada di dewan. Kebijaksanaan ahli-ahli politik boleh dilihat semasa ucapan serta perbahasan mereka di dewan dan itulah yang ingin ditonton oleh para pelajar. Namun, sebaliknya yang berlaku mereka telah dipertontonkan dengan aksi serta perkataan yang biadap dan tidak berakhlak daripada pemimpin mereka. Jika itulah yang ingin dihidangkan kepada para pelajar, mereka tidak perlu bersusah payah untuk memasuki dewan yang mulia itu. Kelakuan dan ucapan seperti `samseng kampung' seperti itu boleh didapati di mana-mana.
Media telah menjadi sasaran terutamanya akhbar utusan. Akhbar tersebut sebenarnya telah lama berbakti kepada UMNO dan pemimpin-pemimpinnya terutamanya menjelang pilihanraya. Jasa akhbar tersebut juga banyak membantu UMNO Pahang berhadapan dengan pembangkang. Tetapi, apabila jasa telah diberi, pemimpin telah dinaikkan, pemimpin mula bongkak dan ego. Ungkapan `pergi jahanam' kepada media seolah-olah media langsung tidak bernilai lagi di sisi MB Pahang.

Adakah media bersalah di dalam melaporkan berita yang membuatkan MB Pahang `kerasukan'? Apakah media tidak melaporkan yang benar? Dan semenjak bila media terutamanya utusan tidak pernah melaporkan yang tidak benar? Hairankah kita bila akhbar utusan berbohong? MB Pahang berkata, petikan yang dikeluarkan oleh akhbar utusan baru-baru ini adalah satu `kemungkaran'. Mungkin kemungkaran yang dimaksudkan dan yang ingin dicegah oleh MB Pahang tersebut tidak sama atau lebih besar dari kemungkaran yang ada di pusat perjudian di Genting. Bagi pemimpin pembangkang, pembohongan di dalam berita-berita di media negara ini adalah lazim dan seolah-olah menjadi pra-syarat untuk beroperasi di negara ini. Cuma, MP Pahang baru mengerti dan kenal apa itu media di Malaysia. Dan, sebagai pemimpin politik, MB Pahang tidak cukup kekebalan dan ketahanan diri.

Itulah hikmahnya Allah tidak lagi membuka pintu hati MB Pahang untuk bersama dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Apa yang dialami oleh pemimpin-pemimpin PAS jauh lebih hebat daripada yang dialami oleh MB Pahang tersebut. Apa yang tidak pernah diperkatakan oleh media terutamanya akhbar utusan terhadap PAS dan pemimpinnya? MB Kelantan sudah lali dengan kerenah akhbar utusan dan beliau pun faham sememangnya itu kerja akhbar tersebut. Bahkan, lebih dahsyat dari itu lagi, anak MB Kelantan sendiri terpenjara akibat fitnah dan masih difitnah walaupun di dalam penjara. Jika ini berlaku ke atas MB Pahang, saya tidak tahu apa akan jadi kepada pemimpin utama UMNO Pahang tersebut. Begitulah bila pemimpin itu naik ke puncak kekuasaan tanpa diuji mereka akan lemah selemahnya. Begitulah bila selama ini terlalu bergantung kepada media bukan kerana kekuatan kerohanian dan keimanan, mereka akan menjadi tidak waras bila media seolah-olah tidak lagi bersamanya.

Sehubungan itu, tidak terlalu lewat untuk MB Pahang bertemu dan menuntut dengan MB Kelantan bagaimana untuk menguatkan kerohanian. Sungguh malang sekali rakyat Pahang yang selama ini berbangga dengan ketokohan dan kejaguhan Tok Gajah dan Pahlawan Mat Kilau, tetapi kini hanya mampu bernaung di bawah pemimpin yang `berhati nyamuk dan berjiwa tikus'. Kepada media-media, seronokkah anda `mengusik' seorang pemimpin politik yang seperti ini?


ZULHAZMI NS

No comments: