Thursday, May 25, 2006

Ramai sokong Kelantan guna dinar emas

Wed May 24, 06 04:58:50 PM Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 24 Mei (Hrkh) - Biar pun ada pihak memperlekehkan hasrat Kelantan menggunakan dinar emas bagi kemudahan rakyat membuat simpanan nilainya, namun di sebalik itu ia mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Malah mereka sependapat dengan kerajaan negeri, nilaian dinar tidak akan susut berbanding mata wang biasa yang sentiasa berdepan dengan spekulasi antarabangsa.
Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan, Haji Ahmad Othman berkata, berdasarkan perkembangan semasa sekarang amat wajar sekiranya negeri ini menggunakan nilaian dinar memandangkan harganya semakin meningkat di pasaran.
Beliau bagaimanapun berharap kerajaan negeri perlu menerangkan secara lebih terperinci kepada kerajaan Pusat berhubung cadangan berkenaan bagi membolehkan semua pihak memahaminya.
"Pemimpin di Pusat pula hendaklah mendengar penerangan cadangan yang bakal dikemukakan kerajaan Kelantan mengenai perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.
"Tidak wajar Perdana Menteri terus menolak tanpa mendengar terlebih dahulu cadangan yang dikemukakan. Apa salahnya jika diberi peluang kepada kerajaan negeri berbuat demikian," ujarnya yang juga Timbalan Presiden Fomca.
Bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Haji Hanifa Ahmad turut menyokong cadangan kerajaan negeri itu dan berharap Kerajaan Pusat bersedia mendengar penjelasan dibuat kerajaan negeri.
Apa yang lebih penting menurutnya Perdana Menteri harus memahami kerajaan negeri hanya akan menggunakan dinar sebagai simpanan nilai dan bukannya mata wang.
"Mata wang dinar dan dirham ini sebenarnya telah lama digunakan iaitu semenjak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Jadi ada baiknya kalau ianya dimanfaatkan semula sekarang," ujarnya.
Sebelum ini anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Kedua, Senator Tan Sri Mohamed Nor Yaacob bagi menjelaskan penggunaan nilaian dinar emas di Kelantan.
Baru-baru ini, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, dasar kewangan negara tidak membenarkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang sendiri.
Seorang peniaga emas yang enggan dikenali meminta Perdana Menteri meneruskan hasrat Tun Mahathir Mohamad untuk melaksanakan mata wang dinar emas yang pernah disebutnya ketika masih lagi memegang jawatan.
"Untuk itu amat wajar Perdana Menteri sekarang merintis jalan yang pernah dipersetujui Dr Mahathir sebelum ini. Lagi pun penggunaan nilaian dinar dan dirham dapat membantu ekonomi rakyat.
"Ini kerana, harga emas semakin meningkat dari semasa ke semasa berbanding wang kertas biasa sebagaimana yang dihadapi sekarang sering menghadapi masalah kejatuhan nilai.
"Bayangkan sekarang harga emas satu tahil harganya RM3,020, sedangkan lima tahun lalu RM1,350, jadi apa akan berlaku dalam masa dua atau lima tahun akan datang, tentu nilaiannya akan bertambah," ujarnya.
Menurut beliau sekiranya rakyat di negeri ini menggunakan dinar emas sebagai simpanan, tentu nilaiannya akan bertambah pada masa akan datang.
Bagaimanapun beliau mencadangkan kerajaan negeri membuat penerangan yang lebih jelas kepada rakyat terutamanya kakitangan kerajaan negeri di mana mereka difahamkan diberi pilihan menerima gaji melalui nilaian emas.
Menurut sumber sebelum ini Dr Mahathir pernah mendapat penerangan berhubung penggunaan nilaian dinar dan dirham ketika melawat Damsyik sehingga beliau begitu tertarik.

3 comments:

Anonymous said...

ana percaya suatu hari nanti UMNO mesti ikut gak cadangan PAS ni,insyallah..pastu dia masuk bakul angkat sendiri laaa....

Anonymous said...

bagussssss

Anonymous said...

ana pasti puak2 umno akan ikut gak cdngan PAS ni insyaAllah...n then seperti biasa mereka2 pun masuk bakul angkat sendiri laaa...