Tuesday, October 13, 2009

Pertikai Undi Pos: Suhaizan cabar Mohamad Hassan berdebat

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat hari ini mencabar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berdebat dalam isu manipulasi undi pos.

Cabaran debat itu berikutan kenyataan Mohamad Hassan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan semalam yang mendakwa pemimpin PAS tidak boleh menerima kekalahan pada pilihan raya Bagan Pinang dan menyalahkan sistem undi pos.
Pengerusi Jawatankuasa Khas berkaitan Undi Pos DPP, Suhaizan Kayat membuat cabaran debat tersebut melalui blognya http://kentong-suhaizan.blogspot.com menamakan dirinya sebagai wakil PAS dan mencabar Mohamad Hassan atau Pemuda Umno mewakili parti pemerintah itu.
Manakala tajuk yang dicadangkannya adalah "Ruang Manipulasi Dalam Pengurusan Undi Pos Di Malaysia".
"Atas nama Pemuda PAS Pusat saya mencabar Pengerusi Badan Perhubunan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan atau mana-mana pihak dalam Umno terutamanya Pemuda Umno untuk berdebat dengan saya di bawah tajuk, "Ruang Manipulasi Dalam Pengurusan Undi Pos Di Malaysia,"tulisan di laman blognya dipetik.
Mohammad Hassan dalam kenyataannya sebelum ini memadankan pribahasa berbunyi 'tak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongket' kepada pemimpin PAS kerana didakwa menyalahkan undi Pos sebagai faktor kekalahan pada PRK Bagan Pinang.
Peribahasa Melayu itu juga menghampiri maksud tidak mahu mengakui kebodohan atau kelemahan sendiri dan menyandarkan kesalahan kepada yang lain.
Mengulas kenyataan itu, Suhaizan berkata, PAS menerima kekalahan tersebut dan akur kepada kelemahan lain, namun yakin sistem undi pos yang dimanipulasi antara yang jelas menyumbang kepada kekalahan mereka.
Beliau turut mendakwa mempunyai asas yang kukuh untuk membuktikan wujudnya ruang penyelewengan undi pos yang diamal pada waktu ini.
"Pas menerima kekalahan yang berlaku di Bagan Pinang yang mungkin berpunca daripada bebarapa kelemahan yang berlaku, tetapi PAS tidak menafikan wujudkan sistem yang lemah dan mudah dimanipulasi pihak tertentu dalam perlaksanaan undi POS.
"Saya boleh senaraikan satu persatu ruang-ruang manipulasi yang ada dalam undi pos," tulisnya yang juga Ketua Penerangan DPP.
PRK Bagan Pinang menyaksikan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar tewas kepada calon BN Tan Sri Mohd Isa dengan jumlah majoriti sebanyak 5,435 undi.
Mohd Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly, Pesuruhanjaya PAS Negeri, mendapat 2,578 undi.
Jumlah itu lebih besar daripada majoriti 2,333 undi yang diperolehi oleh BN pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.
Ekoran kemenangan itu, kepimpinan BN mendakwa parti itu kini sudah mula diterima kembali oleh rakyat selepas ditolak pada Pilihan Raya Umum ke-12, Mac tahun lalu dan tujuh siri pilihan raya kecil sebelum ini.
Manakala PAS mendakwa mereka mempunyai bukti kekalahan mereka adalah berpunca sistem undi pos yang tidak telus.
Dakwaan PAS itu bagaimanapun dikecam Umno BN, sehingga menuduh PAS tidak dapat menerima kekalahan.
Ekoran itu, DPP hari ini mencabar pihak Umno BN untuk berdebat bagi membuktikan kebenaran berkenaan wujudnya manipulasi undi pos seperti yang didakwa. _

No comments: