Wednesday, May 31, 2006

Lima sukarelawan PAS selamat tiba di Yogyakarta

Oleh Ali Bukhari Amir dari Yogyakarta Yogyakarta, 31 Mei (Hrkh) - Lima sukarelawan bantuan kemanusiaan PAS selamat tiba di Yogyakarta, Jawa Barat di Pos Penanggulangan Bencana (P2B) Partai Keadilan Sejahtera (PKS), cawangan wilayah Jogjakarta di sini sekitar 2:35 pagi waktu tempatan.
Mereka adalah Bendahari Agung PAS, Dr. Hatta Ramli; Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Amal), Jamaluddin Elias; Petugas Amal, Onn Jaafar; Dr Ahmad Yunus dan wartawan Harakah.

Agihan kedudukan para sukarelawan itu akan diputuskan pada pagi ini melalui perbincangan bersama para petugas PKS di sini.

Menurut seorang petugas P2B di sini, Imam, 25, sukarelawan di sini dibahagikan kepada beberapa tempat yang terjejas teruk.

“Sekitar Bantul kita bahagikan kepada dua posko (pusat khidmat sukarelawan), iaitu di Bantul sendiri dan di Kota,” kata beliau.

Selain itu, tambah Imam, antara kawasan lain yang turut diberi bantuan ialah Kabupaten Sleman yang terjejas teruk.

Gempa bumi sekitar Gunung Merapi dekat sini mencatatkan perubahan sebanyak tiga kali ganda sejak gempa awal pagi Sabtu lalu menyebabkan ketidakstabilan di beberapa bahagian pada gunung tersebut.

Sejak Sabtu lalu, dilaporkan gunung itu menyembur awan panas sebanyak 150 kali sehari.

Penduduk di sekitar kawasan dekat gunung tersebut diarah berpindah awal bulan ini.

P2B di sini turut membuka lima posko selain Sleman, Bantul dan Kota, iaitu Gunung Kidul dan Kulon Progo. - mks

Sikap Kementerian Luar memalukan Malaysia

Oleh Rosla sms
PM Malaysia yang juga selaku Pengerusi Negara-negara Berkecuali (NAM) tegang-tegang urat leher apabila menyentuh isu Palestin ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM CoB), di Putrajaya semalam.


Kata beliau usaha ENGAGEMENT dengan kerajaan HAMAS Palestin perlulah dilakukan berterusan demi mengiktiraf dan menghormati hak demokratik rakyat Palestin yang telah memberi mandat kepada HAMAS.




Tetapi di belakang tabir rupa-rupanya kerajaan Malaysia sendiri mencetuskan kontroversi dan jelas membelakangi saranan Dollah itu apabila menjemput kedua-dua Menteri Luar(HAMAS:Mahmoud Zahar)dan bekas Menteri Luar (FATAH:Farouk Kaddoumi) Palestin ke Persidangan NAM ini.

Nyatalah tindakan kerajaan itu merupakan suatu gerak diplomatik yang sungguh mengaibkan dan telah memburukkan nama Malaysia dikalangan para anggota NAM dan dunia antarabangsa lebih-lebih lagi bagi kerajaan baru Palestin pimpinan HAMAS.

Malah menurut NST wakil sebenar kerajaan Palestin iaitu Mahmoud Zahar telah memulaukan persidangan itu kerana tindakan Malaysia menjemput bekas Menteri Luar Palestin itu yang tidak lagi memiliki mandat dan kuasa.

Kata Zahar:

I cant stand side by side with a man who is not representing the Palestinian Government. He (Kaddoumi) is playing a dirty game.

Saya tidak boleh berdiri berganding bahu dengan seorang yang tidak mewakili Kerajaan Palestin. Beliau main kotor.

Malahan Zahar turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Kaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau.

Bagaimana ini boleh berlaku? Apakah ada hubungan istimewa antara kerajaan Malaysia dengan bekas kerajaan FATAH yang ditolak oleh rakyat Palestin kerana mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa secara berleluasa?

Kata Syed Hamid belia memaklumkan Zahar bahawa Kaddoumi berkeras mahu hadir lalu beliau mengundangnya.

Saya kira Kerajaan Malaysia perlu memohon maaf kepada Kerajaan HAMAS Palestin atas kesilapan yang sangat dikesali ini.

Bagaimana Malaysia nak menjadi juara isu Palestin jika ia tidak dapat membezakan antara kerajaan yang sah dan yang tidak?

Bayangkan jika ada persidangan antarabangsa di luar Malaysia yang melibatkan Ketua Negara, lalu tuan rumah menjemput Dollah dan Tun Dr Mahathir sekali sebagai wakil Malaysia. Pasti Dollah akan terbakar dan barangkali menyepak keluar Syed Hamid, demikianlah juga dalam hal kekalutan yang berlaku di Putrajaya ini.

Kekalutan ini kebetulan berlaku dipenghujung tempoh Malaysia mempengerusikan NAM dan saya pasti akan mencacatkan imej Malaysia di mata dunia.

Persitiwa yang mengaibkan ini telah medapat liputan meluas akhbar antarabangsa antaranya:

WASHINGTON POST: HAMAS rep protests Fatah rival at meeting
KUWAIT NEWS AGENCY: Zahar not participating in NAM Conference
ALJAZEERA.NET: HAMAS minister leaves NAM meeting
AUSTRALIAN BROADCATING CORP: HAMAS withdraws from talks

Sementara itu menurut laporan Kerajaan Brunei Darussalam telah mengundang Menteri Luar Palestin dari HAMAS itu mengunjungi Bandar Seri Begawan. Sultan Hasanal Bolkiah sendiri selaku Ketua Negara dan PM telah sudi menerima Zahar dan rombongan mengadap di istana.

Langkah Brunei ini merupakan suatu tamparan kepada Malaysia yang buta dan enggan menerima realiti perkembangan semasa di Palestin.

Kahwin berlainan agama makin serius di Sabah

Oleh Nabila Abdullah KOTA KINABALU, 29 Mei (Hrkh) - Masalah kahwin campur berlainan agama semakin serius di Sabah disebabkan kurangnya pemantauan dan kawalan yang lemah oleh Jabatan Agama Islam Sabah, kata Ketua Pemuda PAS Sabah, Ustaz Anuar Ali.
Menurutnya, tindakan perlahan oleh jabatan agama negeri apabila menerima aduan orang ramai terhadap masalah itu menyebabkan kes berkenaan bertambah.

Setakat ini Pemuda PAS Sabah telah berusaha menangani masalah ini dengan memberi kaunseling bagi menyedarkan mereka melalui persatuan mualaf di bawah Yayasan Mualaf, kata beliau yang dihubungi Harakahdaily.

Katanya, pergerakan Islam lain seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) turut memainkan peranan dalam menangani masalah ini tetapi peranan itu agak terhad, katanya.

Selain kahwin campur berlainan agama, beliau juga bimbang gejala murtad yang semakin teruk di Sabah.

Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Agama Islam Sabah lebih perihatin dan sedia bergabung dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dengan mengembalikan kesedaran kepada umat Islam.

"Bertindak cepat dengan laporan yang diberi, jangan lepas tangan dengan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya. - lanh

Umat Islam hina kerana rasuah

Oleh Khairul Azlam Mohmad MARANG, 30 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penyakit menggunakan wang kerana pangkat dan kebesaran membawa bencana kepada sesuatu umat.



“Kita tidak boleh menyelamatkan umat kita melainkan dengan Islam, dengan berjihad pada jalan Allah dan membuang penyakit-penyakit rasuah termasuk menggunakan wang untuk terus berkuasa,” ujarnya pada satu majlis di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, tambahnya semua penyakit itu perlu dibuang segera.

“Jika tidak, kita akan dilaknat di dunia dan akhirat,” ujarnya lagi.

Menurutnya, penyakit yang melanda umat Islam hari ini seperti rasuah telah menjadikan mereka bangsa yang hina kerana kemuliaan hanya dengan Islam.

Jelasnya, Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran kepada umat Islam bahawa Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah dan kedua-duanya di dalam neraka.

Beliau mengingatkan umat Islam bahawa rasuah dan meninggalkan jihad yang menimpa Bani Israil menyebabkan mereka menjadi bangsa yang hina serta dilaknat oleh Allah.

Katanya, walaupun di kalangan mereka dilantik rasul-rasul dan nabi yang paling ramai dan berbangga dengan keturunan Nabi Yaakob tetapi mereka menjadi hina kerana tidak menerima perintah Allah SWT.

Ini, katanya kerana disebabkan mereka meninggalkan perintah jihad fisabilillah iaitu perjuangan menegakkan kalimah Allah.

“Allah memberi kemuliaan kepada sesuatu umat itu dengan Islam, bukan dengan keturunan dan kekayaan,” katanya.

Tambahnya, penyakit kedua yang melanda Bani Israil ialah rasuah.

Katanya, mereka dipengaruhi oleh wang serta menjadikannya sebagai alat untuk mencapai kuasa pemerintahan untuk membeli manusia bagi menghasilkan sesuatu hajat dalam kehidupan di dunia tanpa mempedulikan kepada benar dan salah.

Tambahnya lagi, mereka memilih pemimpin dan ketua yang boleh memberi wang dan harta bagi mencapai sesuatu impian hidup di dunia ini. - mks.

Umat Islam diminta elak ulama bisu

Oleh Che Omar Md Zin PERMATANG PAUH, 30 Mei (Hrkh) - Umat Islam perlu mengenali ulama ussu (bisu) bagi mengelak pegangan akidah dan amalan hidup tidak terpesong daripada ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w., kata seorang pendakwah bebas, Ustaz Badrul Abdul Rahman.
Ciri-ciri ulama bisu yang Nabi Muhammad s.a.w. gambarkan melalui hadisnya sebagai dajal, katanya, adalah ulama dan ilmuan Islam yang menyembunyikan ajaran Islam syumul daripada pengetahuan umat Islam.

"Golongan ini hanya berani bercakap soal ibadat, fazilat dan hal-hal feqah yang biasa saja dengan mengolah begitu sedap dan mempersonakan tetapi soal hukum, memerintah negara, berpolitik dan sebagainya tidak dinyatakan sebalik sengaja dikelirukan.

"Inilah sebesar-besar bahaya sebelum kedatangan dajal maka kerana itu awasilah dan hati-hati supaya tidak tersesat jalan dan akidah akibat mengikut ulama suk yang menjual akhirat untuk dapatkan dunia," katanya.

"Sama ada menjaga kepentingan dirinya, pangkatnya, atau apa-apa tujuan duniawi, mereka ini tidak sanggup berkata benar malah sengaja menyembunyikan tuntutan Islam sebenar menyebabkan timbul salah faham dalam amalan dan penafsiran Islam.

"Hasilnya muncullah perpecahan di kalangan umat Islam dan jemaah Islam akibaat ajaran ulama ussu yang tidak amanah dalam ilmu sedangkan ulama diletakkan sebagai pewaris Nabi dan Nabi melaksanakan amanah ini dengan sepenuhnya tanpa mempedulikan kebencian orang," ujarnya sewaktu menyampaikan kuliah di sini baru-baru ini.

Menurut Ustaz Badrul, kaedah mengenal siapa ulama ussu atau jahat ialah dengan melihat sendiri sirah Nabi dan al-Quran, bagaimana Nabi tidak sembunyikamn ayat Abbasa Watalla (bermasam muka) walaupun ayat ini mengegur Nabi.

"Nabi Muhammad s.a.w. membaca firman tersebut kerana sifat Nabi dan Rasul amanah dan mana-mana ulama pewaris Nabi tidak boleh menyembunyikan kebenaran kerana itu mana-mana ulama atau ilmuan Islam yang tidak menunaikan amanah ini dan menyembunyikan ajaran Islam yang syumul dia dianggap sebagai ulama jahat dan umat Islam tidak perlu belajar daripada mereka ini," kata beliau.

Katanya lagi, umat Islam hari ini perlu belajar dan berguru dengan ulama dan ilmuan Islam yang amanah dengan ajaran Islam yang syumul dan tidak perlu terpedaya atau terpesona dengan tahap ilmu seseorang atau kehebatan mereka walaupun berkelulusan PhD sedangkan mereka sembunyikan ajaran Islam sebenar.

Dinar Emas Agen dan Strategi Penyatuan Umat Islam

Oleh
Prof. Madya Dr. Zuhaimy Hj. Ismail
Jabatan Matematik
Fakulti Sains
Universiti Teknologi Malaysia

Hampir semua peperangan dan kekacauan yang berlaku sekarang ini ada melibatkan orang Islam. Umat Islam dibunuh dengan kejamnya di Bosnia di depan mata kuasa dunia, di Chechnya umat Islam diburu dan dibunuh, di Afghanistan umat Islam dilagakan untuk berbunuh sesama sendiri. Kini hampir seluruh umat Islam di dunia kini merasakan mereka ditindas dan dipermainkan oleh Amerika Syarikat dan koncu-koncunya. Perkosaan bumi Pelestian dan Iraq dengan pembunuhan yang mencecah beratus-ratus orang tidak kira bayi atau orang tua. Kekejaman ini tidak lagi mendapat perhatian mana-mana pihak. Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang seharusnya memasti keamaan di ketepikan dan dianggap seolah-olah sudah tidak relevan lagi. PBB ditubuhkan dengan objektifnya hanyalah untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh orang Yahudi di Eropah. Dalam tahun 1948, PBB telah mengambil tanah bumi Pelestin bumi umat Islam dan mencampakkan manusia bermasalah di Eropah itu ke sana, selepas itu kita dapati PBB tidak relevan lagi. Statistik atau rekod kegagalan PBB bertambah satu demi satu - kegagalan PBB di Bosnia, Chechnya, Afghanistan, Kashmir, Indonesia dan banyak lagi. Dunia kini merasakan kuasa barat yang diketuai AS telah membawa dunia kepada kancah peperangan (pepertual warfare) dengan penaklukan Afghanistan, Iraq dan memerangi penganas Taleban dan Al-Qaedah. Atas nama memerangi pengganas, akaun simpanan sesebuah negara atau pertubuhan akan dibekukan sekiranya ada sahaja tuduhan bahawa kononya terdapat wang yang memasuki atau mengalir keluar dari akaun yang mereka sangsi. Sesungguhnya hipokrasi ditahap tertinggi sedang di amalkan oleh Amerika Syarikat dan koncu-konconya. Sekiranya umat Islam terus bergantung kepada AS, kita seolah-olah menyerahkan leher kita untuk disembelih. Umat Islam mesti mencari jalan untuk bersatu. Selagi umat Islam mengharapkan pertolongan selain daripada Allah s.w.t. dan sesama umat Islam selagi itulah kita akan di perbodohkan. Kita umat Islam di Malaysia mampu memulakannya – mengetuai OIC dan kearah menggunakan dinar emas dan dirham perak bagi perdagangan antara umat Islam. Semua yang berlaku sekarang ini semuanya di atas restu Allah s.w.t dan tidak boleh diambil ringan.

Malaysia selaku ketua negara-negara Islam telah mengambil inisiatif untuk menyedarkan dunia bahawa kezaliman Yahudi di Pelestian dan keganasan di Iraq tidak boleh diteruskan. Malaysia selaku tuan rumah telah memanggil mesyuarat negara OIC untuk membincangkan isu di Pelestin dan Iraq pada 19 April 2004 di Putra Jaya. Mesyauarat ini telah berjaya mengeluarkan dua deklarasi mengenai Iraq dan Pelestin. Cuma agak mendukacitakan hanyalah bilangan negara yang turut serta dalam persidangan ini hanyalah sebanyak 13 negara daripada 52 negara OIC (25% kehadiran sahaja). Apakah isu kesengsaraan rakyaat Pelestin dan Iraq tidak penting bagi umat Islam dari negara lain? Apakah umat Islam tidak boleh bersatu? Apakah isu masjidilaqsa bukan isu agama? Mungkin juga isu umat tertindas sudah menjadi sesuatu yang sudah lapok!



Apakah kita sudah tidak kesah dengan kezaliman tentera Israel yang menggunakan peluru getah dengan sengaja menghalakan tembakan dan membutakan satu atau kedua-dua mata kanak-kanak Pelestian antara usia enam bulan ke lima belas tahun. Tahukah kita hospital di Pelestin sudah kehabisan mata palsu. Lebih dahsyat lagi mereka terpaksa menghantar kanak-kanak untuk bertempur dengan tentera Israel dengan membaling batu. Yang lelaki lain pula menggantungkan bom dan meletupkan diri dan membunuh wanita dan kanak-kanak Israel. Ke mana hala tuju umat Islam?

Kesengsaraan dan kekalahan umat Islam yang belaku berkurun-kurun lamanya telah membuka satu era yang penuh dengan azam untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah kita kecapi di Baghdad, Andulusia dan Istanbul. Masalah yang dihadapi oleh umat Islam sejak seratus tahun yang lalu sering dilihat dalam bentuk Islam tradisi (Islam awal) dan Islam di zaman moden. Jika kita mengambil pendirian kepada Islam asal yang mengikut tradisi awal, kita akan di labelkan sebagai kolot dan tidak mengikut perkembangan zaman dan cuba untuk membawa umat Islam ke zaman silam dan mundur. Jika kita menyokong pemodenan, ini bermakna kita menerima sistem demokrasi yang diwakili parti politik, dewan persidangan dan parlimen, kenegaraan dan institusi mega yang terkandung dalam se sebuah negara. Masalah yang timbul akan dikategorikan sebagai masalah politik dan kita akan meniru cara orang barat mengatasi masalah kita. Kesan mengikuti kaedah barat adalah kita akan menentang kepimpinan dengan alasan untuk mendapat kebebasan bersuara dan sejarah menunjukkan pejuang Islam di Mesir menentang Saddam, di Syria menentang Assad dan seterusnya. Negara seperti Bosnia, Algeria dan Kashmir mengharapkan kemerdekaan, tetapi apabila Iran memperolehi kemerdekaan kita dapati negara itu dijadikan sebuah republik, mereka menubuhkan sebuah pemerintah berparlimen, mengubah nama polis perisikan, mencetak wang kertas, menubuhkan bank pusat yang seiring dengan Bank Dunia dan IMF, meneruskan penyeksaan banduan dan menghantar duta ke PBB. Paten inilah yang diikuti diseluruh dunia. Umat Islam mahukan penyatuan dan mahukan agen penyatuan bukan dengan meniru cara barat dan mengubah nama sahaja.

Untuk menamatkan kesengsaraan dan pengaiban umat Islam kita mungkin dan dirasakan tidak memerlukan jihad dalam bentuk jihad tradisi (ini hanyalah suatu pendapat sendiri) tetapi harus berjuang untuk terus mentaati Allah s.w.t., menegakkan kembali zakat - rukun Islam yang roboh, penghapusan riba, mengadakan sistem matawang yang berteraskan dinar dan dirham untuk umat Islam, mengembalikan pasar di mana umat Islam boleh berdagang dengan menggunakan wang dinar emas dan dirham perak. Semua ini akan secara beransur-ansur membebaskan umat Islam daripada bergantung kepada sistem ekonomi berteraskan riba. Kita umat Islam harus tahu bahawa wang kertas AS dan mana-mana wang kertas di dunia ini tidak lagi disandarkan dengan emas. Wang kertas tidak ada nilai intrinsik.

Isu penyatuan umat Islam adalah agenda utama sekarang ini. Negara-negara Eropah mula membuat penyatuan bangsa-bangsa Eropah melalui pengenalan dolar Euro. Proses untuk mengadakan dolar Euro ini mengambil masa lebih daripada 15 tahun, iaitu proses untuk menyatukan ekonomi negara yang berbagai etnik, agama dan adat. Pada 2 januari 2001, Eropah mempunyai matawangnya sendiri. Bangsa Eropah telah boleh bersatu dengan menggunakan satu unit matawang kertas tanpa sandaran sebagai agen pertukaran. Umat Islam juga perlu bersatu di bawah matawangnya sendiri yang jauh lebih mantap daripada apa yang digunakan di Eropah. Dolar Euro walaupun tidak serupa dengan dolar Amerika, tetapi kedua-duanya sama iaitu wang kertas yang tidak mempunyai nilai intrinsik. Manakala dinar emas adalah matawang yang berasakan kepada emas tulin 22 karat seberat 4.25 gram setiap dinar. Umat Islam tidak perlu mengambil masa selama 15 tahun untuk memperkenalkan dinar emas kerana semua manusia tahu akan nilai yang ada pada emas. Kaum Cina, India dan Melayu di Malaysia memang mengetahui tentang bernilainya logam yang dinamakan emas dan pemantapan kesatuan bangsa di Malaysia boleh dilakukan dengan penggunaan dinar emas. Di Dubai sebuah pasar telah ditubuhkan oleh pihak pemerintah di mana pengunjung boleh mendapatkan dinar emas dari wakala di luar pasar dan menggunakannya di dalam pasar itu. Sekiranya ini telah berlaku di negara itu, negara kita juga boleh dimemulakan. Mungkin dilakukan secara kecilan dahulu misalnya di pasar-pasar peladang dengan infrastruktur yng telah ada.

Umat Islam tidak mungkin dapat bersatu dengan menggunakan pendekatan politik. Di Indonesia sahaja terdapat berpuluh-puluh parti politik dan masing-masing mengatakan pegangan mereka benar. Umat Islam tidak dapat bersatu di atas nama bangsa dan etnik komuniti kerana perbezaannya begitu besar atau terlalu banyak. Tetapi kita tahu bahawa semua manusia saling memerlukan antara satu sama lain dan manusia perlu berdagang, mendapatkan perkhidmatan dan pertukaran hasil yang diusahakan. Ekonomi baru diperlukan dimana hasil yang diusahakan ditukar dengan barang yang bernilai juga dan bukan dengan wang kertas janji sahaja. Wang dollar Amerika atau dollar Euro tidak mempunyai nilai jika dunia menyatakan tidak mahu lagi dolar AS. Pemilik wang kertas dolar AS tidak mengikuti (mengekori) wang kertas dan pemilikan tidak mengikuti wang kertas sama ada jarak atau masa. Disebaliknya dinar emas dan dirham perak masih mempunyai nilai wlaupun setelah dicairkan atau dipindahkan ke luar negara. Kita tidak boleh katalah yang sama dengan wang kertas Rupiah. Wang Rupiah tidak laku di German, di Perancis dan London.

Tahukah kita semua bahawa Bank Dunia dan IMF adalah pendokong wang kertas dolar AS. Sesungguhnya telah tercatat dalam carta (Charters) Bank Dunia dan IMF) dan dalam semua perjanjian telah menetapkan bahawa segala urusan perdagangan tidak boleh menggunakan emas. Mengapa perkara kembalinya kepada penggunaan dinar emas sangat ditakuti sehinggakan perlu dicatat dengan jelas dalam charter kedua intitusi perbankan dunia ini. Apa yang mereka mahu selindungi? Umat Islam harus tahu perkara ini. Umat manusia semuanya tertipu dengan wang kertas yang dicetak tanpa sebarang sandaran.

Cuba kita masyarakat di Malaysia (dinar emas bukan milik umat Islam sahaja) ini mengambil langkah untuk menyimpan setengah dinar setiap bulan. Jika ada 10 juta rakyat Malaysia yang membeli emas, jadi jumlah dinar yang diperlukan adalah 5juta diperlukan untuk menempa dinar emas oleh Malaysia setiap bulan. Ini bersamaan dengan 21,250,000 gram emas diperlukan setiap bulan atau 255,000,000 gram setiap tahun. Jika ini diulang di beberapa buah negara OIC, kita dapati permintaan emas akan terus meningkat dan harga emas mengikut ukuran dolar akan terus meningkat. Kuasa membeli wang dolar AS akan menyusut dan pada waktu itu kita akan dapati mereka memerlukan lebih banyak kertas untuk membeli minyak kelapa sawit, getah dan kereta yang dikeluarkan dari negara ini. Jika harga emas tidak di kawal harganya oleh lima agensi yang menetapkan harga emas dunia sekarang ini, sudah tentu harganya dalam dolar AS akan terus meningkat.

Sebenarnya emas 4.25gram tetap tidak berubah tetapi kuasa membeli dolar AS akan terus menyusut. Yang berhormat Datuk Shaykh Noh bin Gadut, Mufti Negeri Johor pernah menyarankan supaya umat Islam di Malaysia ini menyimpan 20 dinar emas di setiap rumah dan mengeluarkan setengah dinar setelah cukup haulnya. Ini cadangan yang amat baik. Jika kita umat Islam memulakan pembayaran zakat menggunakan dinar emas, hantaran masa kawin menggunakan emas, simpanan untuk naik haji juga disimpan dalam dinar emas dan memberi hadiah hari jadi kepada isteri juga dinar emas, sudah tentu kita akan dapati kekayaan sebenar akan berada di tangan umat Islam. Kalau kita tidak melakukan usaha ini - siapa lagi? Jadi umat Islam boleh menggunakan dinar emas sebagai agen dan strategi penyatuan ummah.


Negara-negara Islam selalu di manipulasikan matawang dan sistem ekonomi mereka dipinjam dari barat. Sudah pasti sistem ekonomi yang mereka reka dan amalkan, mudah sahaja ditipu helah dan dimanipulasikan demi memastikan komoditi dari negara dunia ketiga terus mengalir bagi memastikan standard penghidupan mereka di barat terus tinggi. Dinar emas boleh menyatukan umat Islam dan digunakan sebagai penghalang daripada aktiviti serangan ekonomi yang pernah kita alami.



Secara strateginya umat Islam melalui OIC boleh memulakan penggunaan dinar emas dalam perdagangan antarabangsa antara dua atau tiga negara. Walaupun kita dengar cerita mengenai Malaysia dan Iran sudah mula menjalankan perdagangan menggunakan dinar emas sebagai pembayaranya, tetapi sejauh mana kejayaan atau kegagalanya diberitakan. Malaysia mengharapkan negara OIC dan yang lain dapat menggunakan dinar emas dalam perdagangan dua hala bagi meningkatkan lagi perdagangan antara negara-negara Islam. Apabila ini berlaku, umat Islam tidak lagi bergantung kepada dolar AS yang tidak bernilai dan tidak stabil ini. Malaysia mengharapkan supaya penggunaan dinar ini menjadi amalan perdagangan antara negara-negara OIC dan umat Islam mengunakan dinar emas untuk membayar zakat, menyimpannya sebagai harta, menggunakannya sebagai hadiah dan sebagainya.



Kita mesti berjuang untuk terus membuat perubahan dari wang kertas ilusi kepada dinar emas yang bernilai intrinsik. Untuk mengubahkan norma penggunaan wang kertas kepada dinar tidak sukar. Yang menjadi sukar adalah kerana kita menyatakan bahawa menggunakan dinar emas itu sukar. Sesuatu perubahan itu memerlukan pengorbanan dan kecekalan, apa yang kita gunakan sekarang ini adalah suatu tabiat atau habit. Dulunya kita gunakan dinar emas, kini setelah sekian lama dipaksa menggunakan wang kertas ke atas kita lama kelamaan ianya menjadi satu tabiat. Penggunaan dinar emas pada mulanya akan nampak janggal tetapi setelah ianya diterima dan digunakan oleh masyarakat umum, dinar emas pula akan menjadi perkara biasa dan wang kertas menjadi janggal. Sesungguhnya penggunaan wang kertas yang janggal iaitu kita menukar sesuatu yang bernilai dengan sesuatu yang tidak ada nilai intrinsik. Peluh kita di bayar dengan kertas yang tidak mampu menyimpan nilai mengikut masa.



Di Malaysia terdapat beberapa institusi kewangan yang berusaha untuk mengembalikan dinar emas dan dirham perak. Setiap institusi beroperasi secara bebas antara satu sama lain. Walau bagaimanapun dinar emas dan dirham perak boleh dijadikan agen penyatuan umat Islam. Kesukaran melakukan perubahan daripada penggunaan wang kertas kepada dinar emas adalah disebabkan ramai diantara kita umat Islam berpegang kepada cara pemikiran atau teori ekonomi barat. Pendidikan barat yang kita terima sering mempengaruhi cara kita berfikir, iaitu suatu pemikiran yang agak rejid mengikut struktur permikiran berlandaskan konsep tesis dan anti tesis. Untuk menukar kepada penggunaan dinar emas kita terbawa memikirkan tentang logik cukup atau tidaknya emas, emas berat untuk dibawa atau AS akan merosakkan sistem yang akan dibangunkan. Kita harus memikirkan cara pengenalan yang boleh melepaskan daripada terus dimanipulasikan oleh sistem ekonomi yang berteraskan riba. Kita umat Islam mesti menggantikan sistem riba dengan sistem yang pernah digunakan oleh Rasulullah dan para sahabah dan mengelak diri kita dan umat kita daripada diperangi Allah dan RasulNya terhadap pengamal riba. Di atas kesedaran ini umat Islam boleh mengambil langkah stretegi untuk mengembalikan penggunaan dinar emas.

Tuesday, May 30, 2006

Protes harga minyak: FRU, polis belasah peserta perhimpunan

Oleh Saidatul Amani, Nabilah Abdullah & Azamin Amin KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Sekali lagi rakyat digegarkan dengan tindakan ganas dan kejam anggota polis simpanan persekutuan (FRU) yang menjadikan peserta perhimpunan aman membantah kenaikan minyak umpama haiwan.

Seramai 20 aktivis termasuk dua wanita ditangkap dalam perhimpunan tersebut antaranya; Ketua Pemuda PAS,Salahuddin Ayub; Setiausaha DAP,Ronnie Liu; Timbalan Ketua Penerangan Pemuda KeADILan, Badrul Hisham Shahrin; Zulkifli Nordin; AJK Lajnah Pengguna PAS Pusat, Wardah Abdullah dan aktivis keADILan,Nora.

Bantah kenaikan harga minyak, elektrik

Perhimpunan aman itu bermula jam 10 pagi di hadapan Dataran KLCC, dipengerusikan oleh Badrul Hisham dan diikuti dengan ucapan Ketua Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Orang ramai mula berhimpun pada jam 9.30 pagi bagi melahirkan bantahan ekoran kenaikan harga minyak diikuti kenaikan tarif elektrik bermula 1 Jun ini.

Dalam ucapan itu Dr Hatta berkata, rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga minyak dan terkini diikuti pula dengan kenaikan tarif elektrik.

Kata beliau,apabila harga minyak naik semua harga barang-barang ikut naik dan ini telah menjejaskan kehidupan rakyat terutama mereka yang bergaji kecil apatah lagi mereka yang tidak bergaji.

Menurutnya, negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi tidak menaikkan harga sebaliknya kerajaan itu menurunkan harga apabila harga minyak dunia naik.

Tambah beliau, negara tersebut berkongsi keuntungan dengan rakyat contohnya harga 90 sen diturunkan menjadi 62 sen.

"Harga minyak dunia naik sepatutnya rakyat memperolehi keuntungan dan tidak munasabah rakyat yang terpaksa menanggung," katanya.

Polis guna 'water cannon' pada orang ramai

Ketika Dr Hatta berucap, helikopter berpusing di atas kawasan perhimpunan sebanyak tiga kali dan serendah lima kaki. Beliau terpaksa menghentikan ucapan kerana ketika itu akibat angin bertiup kencang menyebabkan daun-daun kering berterbangan dan suasana bising.

Laungan `hidup-hidup, hidup rakyat, jatuh-jatuh harga minyak, turun-turun harga minyak, Pak Lah-pak Lah turun, Najib-Najib turun'. Laungan itu berterusan sehingga helikopter beredar daripada kawasan tersebut.

Wakil mahasiswa, Lim Sok Swan turut mendesak kerajaan supaya menurunkan harga minyak.



( Ustaz Nasharuddin sedang melihat kecederaan akibat dibelasah polis seperti yang dialami oleh salah seorang yang menyertai perhimpunan aman pagi tadi )


Pada jam 10.41 pagi pihak polis mula memberi amaran dan melaungkan perkataan;`Diminta perhimpunan dihentikan serta merta atau kami akan huraikan dengan kekerasan.'

Ketika amaran diberikan wakil DAP, Ronnie Liu sedang berucap. Sebanyak tiga kali amaran diberikan dan ketika Ronnie berucap dalam bahasa Mandarin tepat jam 10.46 pagi, trak `water cannon' mula membuat semburan air ke arah peserta protes.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Mohamad Sabu; Salahuddin Ayub; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Presiden Jim, Zaid Kamaruddin; Badrul Hisham ; AJK PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar; Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Idris Ahmad dan peserta protes tidak berganjak dari tempat mereka membuat perhimpunan.

Mereka hanya berganjak apabila anggota FRU menyerbu dan menangkap Salahuddin, Badrul Hisham, Ronnie Liu dan aktivis lain dengan keadaan mereka yang basah.

Zahir dibelasah di hadapan keluarga sendiri, orang ramai

Keganasan FRU tidak dapat disangkal apabila menangkap seorang peserta protes umpama menangkap seekor binatang buas.

Lebih 15 orang menangkap seorang peserta protes. Perlakuan ganas itu juga berlaku terhadap Timbalan Setiausaha Agung KeADILan, Zahir Hassan, yang ditangkap di tengah jalan raya dan dibelasah ketika beliau bersama isteri dan anaknya mahu menyeberang jalan menuju ke bangunan Avenue.

Zahir dipukul di muka,di belakang badan dan (ketika berita ini ditulis) beliau sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Beliau dilaporkan akan terus dibawa ke IPK, Jalan Hang Tuah.

Dalam kejadian tersebut, beberapa orang anggota FRU menarik Zahir keluar daripada kepungan isteri, anak dan peserta protes lain. Dua orang FRU memapah Zahir untuk terus ditahan.

Sebelum itu, Ustaz Nasharudin, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Ustaz Idris Ahmad dikepung FRU dan dihalau supaya bersurai ketika FRU berlaku ganas terhadap peserta perhimpunan aman.

Lebih 2000 orang berkumpul sejak 9.30 pagi untuk melahirkan bantahan rakyat terhadap tindakan drastik kerajaan menaikkan harga minyak yang sekaligus menyebabkan hampir semua barangan keperluan harian dan tarif elektrik naik secara mendadak.

Anggota FRU dan polis bersurai jam 11.25. Ketika mereka bersurai peserta protes melaungkan perkataan; "hidup rakyat, reformasi, FRU kaki pukul, FRU kaki pukul'.

Ekoran tangkapan 20 orang peserta protes itu, perhimpunan aman akan tetap diadakan.

Protes diteruskan, laporan Suhakam dan polis akan dibuat

Menurut Dr Hatta, dijangkakan ini merupakan bantahan kenaikan harga minyak yang terakhir tetapi disebabkan tindakan ganas pihak berkuasa demonstrasi akan diteruskan.

Ustaz Nasharuddin yang ditemui selepas beliau dihalau oleh FRU kesal dengan tindakan zalim kerajaan yang di luar perikemanusiaan dan tidak menghormati suara rakyat yang mengadakan perbincangan secara aman.

“Kita akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkenaan dengan tindakan zalim ini dan rakyat tengok sendiri bagaimana rakyat dipukul. Jika suruhanjaya yang ditubuhkan tidak memberi manfaat kepada rakyat. Kita akan buat laporan Polis," katanya.

Sementara itu Mohamad Sabu turut melahirkan rasa kesal dan berkata, Penambahbaikan Suruhanjaya Polis Diraja Malasia tidak memberi kesan kepada kerajaan.

“Saya sedih dengan tindakan zalim FRU yang mengganas sedangkan rakyat berhimpun secara aman untuk menyuarakan bantahan terhadap kenaikan harga minyak,”katanya.

Sementara itu, AJK PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, kerajaan hari ini gagal dalam menguruskan wang negara dan kerajaan seharusnya menurunkan harga minyak bukannya menangkap dan memukul rakyat.

Beliau mempersoalkan, jika kerajaan memberi alasan membatalkan jambatan bengkok kononnya protes daripada rakyat mengapa kerajaan tidak menurunkan harga minyak melalui protes yang dilakukan oleh rakyat.

“Rakyat harus sedar dengan kuasa yang ada pada rakyat hutang Syarikat besar kepada TNB dipindahkan kepada rakyat sebab itu kerajaan tidak mengumumkan kenaikan takif elektrik pada waktu pilihan raya Sarawak kerana ia tahu kuasa rakyat boleh mengalahkan BN pada pilihanraya itu,”katanya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Azizah Khatib Mat sedih dengan tindakan zalim kerajaan terhadap rakyat yang hanya menyuarakan pendapat tetapi sebaliknya dilayan macam binatang.

"Kemungkinan kita akan mengadakan lagi bantahan supaya kerajaan sedar akan suara yang ada pada rakyat,"katanya. - mks.

Thursday, May 25, 2006

Golongan Lelaki yg Akan Ditarik masuk Ke dalam Neraka

azizah writes
"Di akhirat nanti ada 4 golongan lelaki yg akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka
yg tidak memberikan hak kpd wanita dan tidak menjaga amanah itu.

Mereka ialah:

1. Ayahnya

Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak2 perempuannya didunia. Dia tidak memberikan
segala keperluan agama seperti mengajar solat,mengaji dan sebagainya Dia membiarkan anak2 perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dgn hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke
neraka oleh anaknya.

(p/s; Duhai lelaki yg bergelar ayah, bagaimanakah hal keadaan anak perempuanmu sekarang?. Adakah kau
mengajarnya bersolat & saum?..menutup aurat?..pengetahuan agama?.. Jika tidak cukup salah satunya,maka bersedialah utk menjadi bahan bakar neraka
jahannam.)

2. Suaminya

Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul! bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan utk suami tapi utk pandangan kaum lelaki ygbukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yg alim dimana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dlm neraka.

(p/s; Duhai lelaki yg bergelar suami, bagaimanakah hal keadaan isteri tercintamu sekarang? Dimanakah dia?
Bagaimana akhlaknya? Jika tidak kau menjaganya mengikut ketetapan syari'at, maka terimalah hakikat yg
kau akan sehidup semati bersamanya di 'taman' neraka sana.)

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam,tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

(p/s; Duhai lelaki yg mempunyai adik perempuan, jgn hanya menjaga amalmu, dan jgn ingat kau terlepas... kau juga akan dipertanggungjawabkan diakhirat
kelak...jika membiarkan adikmu bergelumang dgn maksiat... dan tidak menutup aurat.)

4. Anak2 lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram disisi Islam. Bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya...maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak....dan nantikan tarikan ibunya ke neraka.

(p/s; Duhai anak2 lelaki.... sayangilah ibumu....nasihatilah dia jika tersalah atau terlupa.... krn ibu juga insan biasa... x lepas dr melakukan dosa...
selamatkanlah dia dr menjadi 'kayu api' neraka....jika tidak, kau juga akan ditarik menjadi penemannya.)

................................................

Lihatlah.....betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah diakhirat pun tarikannya begitu
hebat. Maka kaum lelaki yg bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

Firman Allah S.W.T;

"Hai anak Adam, peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka dimana bahan bakarnya ialah manusia, jin dan batu-batu...."
"

Ramai sokong Kelantan guna dinar emas

Wed May 24, 06 04:58:50 PM Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 24 Mei (Hrkh) - Biar pun ada pihak memperlekehkan hasrat Kelantan menggunakan dinar emas bagi kemudahan rakyat membuat simpanan nilainya, namun di sebalik itu ia mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Malah mereka sependapat dengan kerajaan negeri, nilaian dinar tidak akan susut berbanding mata wang biasa yang sentiasa berdepan dengan spekulasi antarabangsa.
Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan, Haji Ahmad Othman berkata, berdasarkan perkembangan semasa sekarang amat wajar sekiranya negeri ini menggunakan nilaian dinar memandangkan harganya semakin meningkat di pasaran.
Beliau bagaimanapun berharap kerajaan negeri perlu menerangkan secara lebih terperinci kepada kerajaan Pusat berhubung cadangan berkenaan bagi membolehkan semua pihak memahaminya.
"Pemimpin di Pusat pula hendaklah mendengar penerangan cadangan yang bakal dikemukakan kerajaan Kelantan mengenai perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.
"Tidak wajar Perdana Menteri terus menolak tanpa mendengar terlebih dahulu cadangan yang dikemukakan. Apa salahnya jika diberi peluang kepada kerajaan negeri berbuat demikian," ujarnya yang juga Timbalan Presiden Fomca.
Bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Haji Hanifa Ahmad turut menyokong cadangan kerajaan negeri itu dan berharap Kerajaan Pusat bersedia mendengar penjelasan dibuat kerajaan negeri.
Apa yang lebih penting menurutnya Perdana Menteri harus memahami kerajaan negeri hanya akan menggunakan dinar sebagai simpanan nilai dan bukannya mata wang.
"Mata wang dinar dan dirham ini sebenarnya telah lama digunakan iaitu semenjak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Jadi ada baiknya kalau ianya dimanfaatkan semula sekarang," ujarnya.
Sebelum ini anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Kedua, Senator Tan Sri Mohamed Nor Yaacob bagi menjelaskan penggunaan nilaian dinar emas di Kelantan.
Baru-baru ini, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, dasar kewangan negara tidak membenarkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang sendiri.
Seorang peniaga emas yang enggan dikenali meminta Perdana Menteri meneruskan hasrat Tun Mahathir Mohamad untuk melaksanakan mata wang dinar emas yang pernah disebutnya ketika masih lagi memegang jawatan.
"Untuk itu amat wajar Perdana Menteri sekarang merintis jalan yang pernah dipersetujui Dr Mahathir sebelum ini. Lagi pun penggunaan nilaian dinar dan dirham dapat membantu ekonomi rakyat.
"Ini kerana, harga emas semakin meningkat dari semasa ke semasa berbanding wang kertas biasa sebagaimana yang dihadapi sekarang sering menghadapi masalah kejatuhan nilai.
"Bayangkan sekarang harga emas satu tahil harganya RM3,020, sedangkan lima tahun lalu RM1,350, jadi apa akan berlaku dalam masa dua atau lima tahun akan datang, tentu nilaiannya akan bertambah," ujarnya.
Menurut beliau sekiranya rakyat di negeri ini menggunakan dinar emas sebagai simpanan, tentu nilaiannya akan bertambah pada masa akan datang.
Bagaimanapun beliau mencadangkan kerajaan negeri membuat penerangan yang lebih jelas kepada rakyat terutamanya kakitangan kerajaan negeri di mana mereka difahamkan diberi pilihan menerima gaji melalui nilaian emas.
Menurut sumber sebelum ini Dr Mahathir pernah mendapat penerangan berhubung penggunaan nilaian dinar dan dirham ketika melawat Damsyik sehingga beliau begitu tertarik.

Zaid Ibrahim tarik balik saman 'hudud'

Wed May 24, 06 08:34:01 PM Oleh Rizal Tahir
KOTA BHARU, 24 Mei (Hrkh) - Anggota Parlimen Kota Bharu, Dato' Zaid Ibrahim menarik balik kes samannya terhadap kerajaan Kelantan berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah ll (Hudud) yang difailkan kira-kira tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Takiyuddin Hassan berkata, anggota Parlimen berkenaan memfailkan notis pemberhentian tindakan tersebut di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
"Kita telah menerima surat dari peguam kita mengatakan Dato' Zaid Ibrahim telah memfailkan notis pemberhentian tindakan tersebut di Mahkamah Persekutuan, di mana surat berkenaan bertarikh 5 Mei," ujarnya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Oleh kata beliau pada mesyuarat Exco yang bersidang tersebut kerajaan negeri bersetuju terhadap keputusan penarikkan itu dengan bersyarat dikenakan kos.
"Ini bererti kita bersetuju kes berkenaan ditarik balik tetapi dengan kos, di mana kos bakal ditentukan oleh mahkamah. Ia akan ditaksirkan pihak mahkamah,"ujarnya.
Sebelum ini Zaid melalui peguamnya sebagai pempetisyen membuat perisytiharan di mahkamah bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah ll 1993 bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.
Ekoran itu, kerajaan negeri telah melantik peguam untuk mengendalikan kes berkenaan. Bagaimanapun perbicaraan ditangguhkan beberapa kali.
"Dan hari ini kerajaan negeri diberi maklum bahawa pihak pempetisyen telah menarik balik kes berkenaan.
Takiyuddin berkata, walaupun kerajaan negeri tidak mengetahui sebab sehingga pempetisyen menarik balik kes berkenaan, namun ia diterima dengan kos.
"Dalam mesyuarat Exco hari ini memang kita mengalu-alukan tindakan terbabit," ujarnya.
Takiyuddin juga berkata, Enakmen Jenayah Syariah ll adalah undang-undang yang sah kerana diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 dan disokong kesemua 39 Adun termasuk dua dari pembangkang.
Kedua-dua Adun berkenaan iaitu dari Sungai Pinang, Haji Nordin Salleh dan Adun Limbongan, Wan Mohd Najib Wan Mohamad.
Tegas anggota Exco terbabit apa yang lebih penting undang-undang hudud turut mendapat perkenan Sultan Kelantan, jadi ia telah menjadi undang-undang yang sah.
Bagaimanapun kata beliau kesahihannya akan terbatal sekiranya Mahkamah Persekutuan membuat satu deklarasi bahawa undang-undang berkenaan bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan.

Tuesday, May 23, 2006

Dengan siapa kamu duduk...

Saya menerima email daripada pelbagai pihak, rasanya email ini bagus untuk di kongsi bersama sebagai renungan kita dalam menjalankan kehidupan harian. Terima kasih kepada penghantar. - LP Sekadar renungan ... Barangsiapa yang duduk dengan lapan macam manusia akan ditambah Allah baginya lapan corak hidup:

1.Barangsiapa suka duduk berserta orang kaya, Akan ditambah Allah kecintaannya kepada dunia dan keinginan kepadanya.

2.Barangsiapa suka duduk berserta orang miskin, Akan dijadikan Allah baginya kesukaan bersyukur dan redha menerima pembahagian yang ditentukan Allah.

3.Barangsiapa suka duduk dengan Sultan (Pemerintah Negara), akan ditambah Allah kasarnya dan sombongnya.

4.Barangsiapa suka duduk dengan perempuan, (bukan muhrim) akan ditambah Allah bodohnya dan syahwatnya.

5.Barangsiapa suka duduk bersama kanak-kanak, akanditambahkesukaannya bermain-main dan bersenda gurau.

6.Barangsiapa suka duduk dengan orang fasiq, akan bertambahlah beraninya berbuat dosa dan menunda-nunda taubat.

7.Barangsiapa suka duduk dengan orang-orang soleh, akan bertambahlah keinginannya untuk taat.

8.Barangsiapa suka duduk dengan para ulama' maka bertambahlah ilmu dan waraknya

.....fikirkanlah ... wallahu a'lam


Benarkah Dollah takut bertemu Ismail Haneyeh?

oleh ROSLAN SMS
PM Dollah Badawi kini berada di pusat pelancongan Sharm el Sheikh, Semenanjung Sinai, Mesir kerana mengikuti World Economic Forum di sana.
Persidangan antarabangsa itu menemukan pimpinan-pimpinan dunia yang duduk bersama-sama berbincang masalah ekonomi dunia dan kesannya terhadap politik dan hubungan antarabangsa.
Yang pastinya kehadiran Dollah bukan sekadar mewakili Malaysia tetapi sepatutnya beliau turut mewakili OIC dan NAM.
Dari sana kita mendengar melalui TV tempatan bahawa Dollah bersungguh mahu memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Kata beliau dunia perlu menghormati keputusan rakyat Palestin (maksudnya kerana memilih HAMAS dalam pilihanraya Palestin baru-baru ini), cuma yang sedihnya tidak ada media antarabangsa yang memberikan liputan pun. Mengapa, entahlah?
Melalui siaran TV tempatan kita melihat Dollah bertemu dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas. Dollah berjanji akan menyalurkan bantuan kepada Palestin (tak tahulah yang dimaksudkan Dollah itu OIC ataupun Malaysia sahaja).
Sementara itu kita turut menerima laporan antarabangsa bahawa Presiden Palestin ini sedang berkonfrantasi dengan rakyatnya sendiri. Abbas adalah dari parti Fatah yang ditewaskan oleh HAMAS dalam pilihnaraya lalu. Abbas kita dengar turut memberi layanan dingin pada HAMAS (kerajaan yang dipilih rakyat Palestin) malah terbaru sedang berunding terus dengan Israel sehingga menyarankan (sumber CNN) agar Tel Aviv berunding terus dengan beliau selaku Presiden dan tidak dengan kerajaan HAMAS!
Tiba-tiba Dollah memberikan janji kepada Abbas??!!!
Selaku Pengerusi OIC dan NAM, memandangkan Dollah sendiri telah menyatakan kekecewaannya terhadap sekatan yang dikenakan oleh Amerika, Israel dan sekutu-sekutu mereka terhadap Palestin ekoran kemenangan HAMAS itu, Dollah sepatutnya mengambil inisiatif bertemu dengan PM Palestin iaitu Ismail Haneyeh.
Mengapa Dollah tidak bertemu Ismail (memang Ismail tidak ada di Sharm el Sheikh tetapi pasti selaku Pengerusi OIC ARRANGEMENT boleh dilakukan bagi beliau bertemu PM Palestin itu)?
Bagi saya Dollah tidak bertemu Ismail kerana Dollah takutkan reaksi Bush dan sekutu-sekutunya. Abbas tak mengapa sebab Bush dan sekutunya selesa dengan Abbas. Lalu kerana tidak berani mencetuskan kemurkaan Bush maka cukuplah sekadar bertemu Abbas.
Kalau demikian tak perlulah Dollah mendesak agar dunia mengiktiraf kerajaan Palestin pilihan rakyat itu. Cukup sekadar mewujudkan hubungan dengan Abbas. Abbas kan disenangi Bush dan Bush kan melindungi Olmert!
Saya sedih dengan pengaruh dan pangkat yang telah diberikan oleh OIC dan NAM itupun kita masih penakut dan sekadar menjalankan kuasa berdasarkan kemahuan dan telunjuk Barat. Ada sahabat beritahu saya kalaulah Mahathir yang berada di Sharm el Sheikh itu pasti Wisma Putra diarahkan mengatur pertemuan beliau dengan Ismail.
Apa nak buat Mahathir dah pun bersara, yang ada Dollah, maka terimalah sekadar apa yang ada itu!
Allah selamatkan Islam dan rakyat Palestin!

Dollah salah tafsir Perlembagaan Palestin

ROSLAN SMS
Dalam suatu sidang akhbar di Sharm el Sheikh, Mesir semalam PM Dollah Badawi menyatakan bahawa Malaysia akan menyerahkan USD16 juta ataupun RM57.6 juta bagi membantu kewangan dan pengurusan 16 buah majlis tempatan di Palestin. Ini menurut beliau akan diikuti dengan bantuan-bantuan lain.Walaubagaimanapun menurut Dollah lagi (dalam akhbar THE STAR):The funds, he said, would be channelled through Abbas as constitutionally he was still head of state despite his party losing in the last Palestinian election. Bermakna Dollah akan menyerahkan RM57.6 juta itu kepada Presdien Palestin Mahmoud Abbas kerana menurut tafsiran beliau dari segi perlembagaan Abbas adalah Ketua Negara walaupun partinya Fatah tewas dalam Pilihanraya Palestin baru-baru ini.Antara Abbas dan IsmailSiapa pun tahu yang Abbas adalah Presiden Palestin setelah memenangi pilihanraya Presiden menggantikan Araffat. Dan sebagai Presiden beliau adalah Ketua Negara. Akan tetapi benarkah menurut perlembagaan Palestin saluran bantuan kewangan seumpama ini boleh disalurkan kepada Abbas?Menurut Perkara 113 Perlembagaan Palestin, Presiden adalah Ketua Negara, walaubagaimanapun di penghujungnya disebut:Except those powers that are constitutionally attributed to the President of the State, the governments executive and administrative duties shall be the responsibility of the CABINET.Bermakna kuasa eksekutif dan pentadbiran kerajaan Palestin sebenarnya dipegang oleh KABINET yang diketuai Perdana Menteri dan bukannya Presiden.Manakala menurut Perkara 140 Perlembagaan Palestin kuasa Perdana Menteri antara lain adalah:He represents government and speaks in its namePerdana Menterilah sebagaimana PM Malaysia yang menguruskan kerajaan dan menjaga serta mengawal kewanagannya. Oleh itu bagaimana Dollah mahu menyerahkan wang rakyat Malaysia yang begitu besar jumlahnya kepada Abbas yang tidak diberi kuasa menguruskan kewangan seumpama itu?Takkanlah Dollah tidak peka akan konflik politik yang sedang membara antara Fatah dan Hamas. Takkanlah Dollah tidak dimaklumkan tentang operasi kerajaan yang sebenarnya di Palestin.Rakyat Palestin dalam pilihanraya lalu menolak Fatah kerana kerajaan Fatah rasuah dan menyalah-gunakan kuasa. Dollah sendiri mengajak dunia mengiktiraf kerajaan Hamas pimpinan Ismail Haneyeh yang diberikan mandat oleh rakyat Palestin, akan tetapi dalam hal menyalurkan kewangan Dollah sendiri lebih selesa untuk berurusan dengan Presiden Abbas!Kita menyokong usaha murni Dollah itu tetapi tolonglah serahkan wang rakyat Malaysia itu terus kesasarannya. Jangan kerana tekanan Barat atau takutkan Barat maka kita serahkan bantuan kepada Abbas sedangkan yang menguruskan kerajaan adalah Ismail Haneyeh dan kabinetnya.Rakyat Malaysia tidak akan memaafkan Dollah kiranya wang itu nanti tidak turun ke rakyat Palestin tetapi disalah-gunakan oleh pihak-pihak lain.

Barisan Nasional diajar oleh pengundi bandar di Sarawak

Oleh : Azmi Che We, Manir, Terengganu
Kekalahan Barisan Nasional di sembilan kerusi negeri di dalam Pilihanraya Sarawak yang berakhir pada hari ahad lalu memberi pengajaran berguna kepada parti yang gemar menipu di dalam Pilihanraya itu. Barisan Nasional boleh menipu menerusi data-data pengundi yang boleh dimanupulasikan oleh mereka menerusi agen mereka sendiri iaitu Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), mereka juga boleh menipu secara propaganda menerusi media-media milik mereka. Propaganda yang dimainkan oleh media-media mereka merupakan satu penipuan secara tidak langsung sebenarnya. Cuma penipuan menerusi media massa tidak sama dengan penipuan keatas data-data pengundi seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional ke atas negeri Terengganu di dalam Pilihanraya Umum 2004. Namun, penipuan menerusi media massa nampaknya tidak berkesan ke atas pengundi-pengundi bandar berbangsa cina di Sarawak. Kesudahannya Barisan Nasional tertunduk layu di sembilan kerusi kawasan bandar di Sarawak. Masyarakat cina bandar lebih terdedah kepada maklumat. Mereka lebih celik ilmu. Mereka juga lebih terbuka terhadap idea-idea baru yang dilontarkan oleh pembangkang. Masyarakat cina bandar juga secara umumnya lebih berkemampuan dari segi ekonomi berbanding masyarakat kampung, lantas ini menjadikan mereka masyarakat yang tidak bermental subsidi seperti kebanyakkan bangsa melayu di semenanjung (baik di kampong mahupun di bandar). Kekuatan ekonomi mereka dan keterbukaan mereka terhadap isu-isu semasa menjadikan mereka bangsa yang berani berubah. Mereka menjadi berani untuk tidak mengundi parti pemerintah, sesuatu yang menjadi ketakutan kepada kebanyakkan bangsa melayu di semenanjung. Bangsa Melayu semenanjung takut untuk tidak mengundi parti pemerintah kerana bimbang akan hilangnya peluang pekerjaan, juga kononnya negara akan menjadi mundur jika tidak mengundi pemerintah, bangsa Melayu juga berpendirian bahawa orang Melayu haruslah berterima kasih kepada pemerintah dengan mengundi pemerintah sekarang kerana pemerintah sekaranglah yang telah membangunkan negara sejak merdeka.
Jika bangsa cina bandar di Sarawak berpendirian sama seperti kebanyakkan bangsa Melayu di semenanjung, maka tidak mungkin sama sekali bagi mereka untuk menukar parti di sembilan kawasan bandar di negeri mereka. Mereka akan menjadi bangsa yang sama, kekal dan tidak berubah-rubah dengan mengundi parti pemerintah sahaja sejak merdeka sampai ke hari ini.
Bagi penulis, walaupun parti yang menang bukanlah parti sokongan penulis iaitu PAS, namun kemenangan parti Keadilan Rakyat yang merupakan sekutu PAS sedikit sebanyak melegakan penulis. Kemenangan Parti DAP juga wajar dipuji kerana mereka menentang kerajaan yang memerintah walaupun mereka mungkin tidak dapat ‘tidur sebantal’ dengan kita.
Sesungguhnya penulis dan kebanyakkan penyokong pembangkang merasa gembira dengan kekalahan memalukan Barisan Nasional di sembilan kerusi bandar yang mereka tandingi ini. Ianya menjadi isyarat yang jelas kepada Barisan Nasional agar jangan sesuka hati menipu rakyat. Juga jangan sesekali menaikkan harga minyak, elektrik dan tol lebuhraya sesuka hati mereka

Wednesday, May 17, 2006

PAS MEMIMPIN PERJUANGAN

PAS tampil sebagai sebuah Gerakan Islam yang juga menepati ciri – ciri gerakan politik dan gerakan massa , memimpin perjuangan dan membimbing ummah guna mendepani tahaddiyat ( tentangan ) jua menyerap tekanan yang dihadapkan kepada ummah.

Menggalas tanggungjawab ini , PAS membina satu keupayaan berkualiti tinggi yang melepasi sempadan daerah keupayaan sendiri . Namun realiti ini hanya dapat direalisasikan apabila nokhtah dibawah , berjaya dibentuk dalam graf yang paling optimum.

Kepimpinan ulama yang perkasa dengan takrifnya yang benar dan tepat.

Ulama’ yang profesional .

Profesional yang bernilai ulama’

Menjuarai isu masyarakat .

Membentuk jaringan gerakan yang bertaraf international

Membina imej Jamaah yang menepati sifat sebuah kerajaan layak memerintah.

Melengkapi keperluan jamaah dan tuntutan ummah.

Melebarkan political enggagement

Menampilkan kepimpinan dinamis dan sesuai zaman .

Sistem pengkaderan yang efektif

Berasaskan statement di atas , tanggungjawab ini bergalas bahu diantara satu sama lain. Antara pemimpin dan anggota , antara anggota dan anggota yang lain .

5 prinsip bersifat wajib milik oleh setiap individu yang menyertai Gerakan Islam ini.

Iltizam ( komitmen )
Wala’ ( kesetiaan dan kejujuran )
Tadhiyyah ( pengorbanan )
As Samu’ wat toa’h ( dengar dan taat )
Ukhuwwah fillah ( Persaudaraan )


5 badihiyyat ( tuntutan utama ) yang wajib dilaksanakan .

Belajar sungguh-sungguh dan kuasai ilmu dengan niat untuk menjadi bekal berjuang di Tanahair kelak .

Bina kemahiran berorganisasi untuk mengurus jamaah / parti dengan berkesan bila pulang kelak .

Kuasai ilmu pidato dengan segala seninya kerana ia adalah medium yang sangat berkesan untuk dakwah kita .

Bina watak dan karisma kepimpinan berwibawa guna memimpin ummah menghadapi cabaran yang kian sengit.

Elak pertembungan sesama sendiri dan menghabiskan masa dalam perkara yang remeh . Jadi pejuang yang matang dan dewasa .

5 tabiat perjuangan yang mesti sedia dihadapi dengan tabah .

Bunuh ( Nyawa terancam .)
Buang daerah
Penjara
Jauh perjalanan yang terpaksa dilalui
Sukar menempuh halangan .

Pendekatan PAS terhadap perjuangan Islam di tanahair .

Muwaajahah bis silmi atau muwajjahah silmiyyah .

Berhadapan dengan lawan secara aman ( tidak melalui peperangan ) .

· Dakwah ( lisan dan perbuatan )
· Mauizah ( nasihat dan pedoman )
· Inzar ( peringatan )
· Mujaadalah ( dialog atau debat yang positif )
· Muzoharah ( tunjuk perasaan / demontrasi )

2. Membentuk jamaah sebagai Parti Politik dan Menyertai Pilihanraya .

Pada tanggal 27 june 1955 bermula penyertaan PAS dalam pilihanraya ( Pilihanraya Persekutuan Pertama ) untuk merebut 52 kerusi dan PAS telah menang satu kerusi di Kawasan Parlimen Krian melalui calonnya Tuan Guru Hj. Ahmad Hj. Husin hinggalah tahun 1959.

Penyertaan ini di atas hasrat untuk menegakkan Islam di Malaysia dan PAS telah memilih cara Muwajjahah Silmiyyah untuk menghadapi pihak yang tidak melaksanakan Islam ( Barisan Nasional ) di negara kita dengan menolak kaedah Revolusi dan perang.

Peringkat awal penyertaan PAS dalam pilihanraya tidak dipersoalkan hukum syarie atau tidak oleh mana mana badan atau pihak. Isu kesyariean kaedah pilihanraya ini hanya timbul setelah wujudnya jamaah - jamaah islam yang tidak puas hati terhadap PAS.

Pilihanraya adalah peluang terbuka dalam sistem Jahiliyyah untuk kita bermuwajjahah ( menentang ) pihak pemerintah yang enggan melaksanakan Syariah Allah swt. Melalui ruang ini juga , dilebarkan usaha dakwah dan gerakkerja mempertahan dan melindungi agama Allah swt.

Sebagaimana ruang dalam sistem jahiliyyah digunakan oleh Abu Talib untuk melindungi anak saudaranya Muhammad saw. Begitu juga dilakukan oleh Mata'am bin A'di untuk melindungi Rasulullah saw. ketika baginda pulang dari Taif. Ruang itu turut digunakan oleh Ibnu Ad Daghnah ketika memberi perlindungan kepada Syadina Abu bakar As-Sidiq rha. yang dihalau oleh kaumnya.

Namun pilihanraya sebagai satu ruang dalam sistem jahiliyyah ini tidaklah bererti satu -satunya kaedah dakwah dan perjuangan yang ada dan kita tidak pernah beriman kepada demokrasi . Kita menerima pilihanraya selama mana ia selamat digunakan demi melebarkan dakwah dan menegakkan Islam , tetapi jika sekiranya ruang ini tidak lagi selamat digunakan , maka ruang - ruang atau kaedah - kaedah yang lain pula akan digunakan demi agama Allah swt.

Sebagaimana berlaku pada Ibnu Daghnah ketika mana ia tidak tahan dengan tekanan Musyrikin Quraisy yang meminta supaya Ad Daghnah menghentikan kerja dakwah Abu Bakar As - Siddiq yang berada di bawah lindungannya , lalu ibnu Ad Daghnah mengugut Abu Bakar rha. samaada menghentikan kerja - kerja dakwah untuk terus berada di bawah lindungannya atau dilucutkan perlindungan itu .

Syaidina Abu Bakar rha. menjawab : Aku pulangkan kembali kepada mu perlindungan yang diberikan kepada ku , Aku redho dengan perlindungan yang dikurnniakan oleh Allah swt. Demikianlah Abu Bakar rha. mengambil ruang yang ada dalam satu sistem Jahiliyyah ketika itu untuk bernaung dan melebarkan dakwah , namun ruang itu tidak bererti segala - galanya untuk dakwah malah apabila ia dirasakan tidak lagi selamat dan memberi pulangan sebaiknya kepada kerja - kerja dakwah , maka ruang ruang lain yang dibuka oleh Allah swt untuk menegakkan agamanya amatlah luas.

Melalui pilihanraya, PAS mampu menyuarakan Islam dan pandangan - pandangannya di Parlimen dan juga DUN yang perlu difahami bahawa disitulah undang - undang negara kita digubal.

PAS juga mampu menggubal undang - undang Negara ini untuk dilaksanakan Islam jika dua pertiga ahli parlimen menyokong PAS.

Berasaskan kenyataan ini , PAS berjuang dan bertanding dalam pilihanraya di peringkat Parlimen dan DUN sebagai usaha untuk menggubal undang - undang negara ini dari Jahiliyyah kepada Islam .

Dalam ertikata lain , meneruskan usaha Rubaei bin Amir rha. : Mengeluarkan sesiapa jua yang mahu dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah tuhan yang mencipta hamba . Dari kedhaliman agama ciptaan manusia kepada keadilan Islam wahyu yang diturunkan oleh Allah swt. dan dari kesempitan duni kepada keluasan dunia dan akhirat yang dijanjikan oleh Allah swt.

PAS sebagai Gerakan Islam yang Dinamik ,


Peranan Intelektual .

Demi memastikan PAS bergerak seusia dengan zaman yang ditempohnya , PAS memerlukan anjakan semasa dalam pelbagai aspek yang diperlukan seperti paradigma , attitude dan strategi yang sesuai dengan keperluan perjuangan dan zaman .

Justeru itu , semua pihak anggota parti khasnya intelektual mestilah berfungsi sebagai outomotif untuk menjana jentera parti . Kepada mereka tersandarnya tanggungjawab ini justeru mereka memiliki ilmu sedang ilmu itu pula adalah potensi yang ada pada mereka .

Intelektual sewajarnya sensitif terhadap fenomena ini dan melengkapkan diri mereka pula dengan kefahaman dan keinsafan yang tinggi untuk berjuang dan menyumbang . ( ilmu tanpa kefahaman , tidak menjadikan mereka mampu turun ke medan perjuangan . )

Kehadhiran Intelektual mestilah melengkapi konsep integrasi antara amalan tradisi parti yang soleh dengan penemuan baru yang bermanafaat .

DARI PELAJAR KEPADA BERJUANG BEKALAN BUAT PENDAKWAH

Matlamat atau hadaf menuntut ilmu adalah untuk memenuhi tuntutan sebuah perjuangan .


Mafhum Firman Allah swt :

Tidak wajar semua orang – orang yang beriman keluar berperang , sebaliknya hendaklah ada sebahagian dikalangan mereka supaya mendalami agama hingga ke akar umbinya supaya kelak mereka memberi peringatan tegas buat kaum mereka apabila mereka kembali kepangkuan kaum mereka , mudah – mudahan mereka berwaspada .
Surah At taubah . Ayat : 122

Ayat di atas bukan sahaja menjelaskan kewajipan menuntut ilmu tetapi juga menjelaskan tindakan ( perjuangan ) yang WAJIB dilakukan sejurus selesai menuntut ilmu .

Muhtawiyat atau substance Perjuangan Islam secara umum ialah :

Membetulkan aqidah dan menghayatinya

Melaksanakan syariat dan mendaulatkannya

Membentuk masyarakat dan biah atau iklim social yang islamik

Menubuhkan Daulah Islamiyyah dan penguasaannya

Mengisi keperluan dan tuntutan ummah semasa ( contemporary )

Membangunkan Daulah seiringan Spiritual dengan Material .



Muhtawiyat di atas memerlukan ilmu , sementara mereka yang berilmu ( walau dalam apa jua disiplin pengajiannya ) bertanggungjawab memperjuangkan Islam dengan segala muhtawiyatnya dan menyelaraskannya pula berasaskan kemahiran atau ilmu yang mereka miliki , seperti mengambil posisi serta bidang yang sesuai dengan ilmu mereka guna melengkapkan muhtawiyat perjuangan islam ini .

Tegasnya : Ilmu wajib dituntut untuk melengkapkan keperluan dan tuntutan perjuangan , sementara mereka yang berilmu pula wajib berjuang sebagai menunai tanggungjawab dan amanah mereka terhadap ilmu yang dituntut.

Realiti sebuah Perjuangan .

Negara kita adalah antara sebidang bumi yang perlukan sebuah perjuangan gigih ke arah pembentukan sebuah Negara yang Membangun secara seimbang dan sepadu antara elemen bumi dan langit . ( Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur = Negara yang Aman dan Maju serentak itu mendapat keampunan dari Allah swt. )

Perlu difahami bahawa kini , Tamadun modern yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di negara kita , kini bertukar wajah menjadi ancaman kepada masyarakat dengan mengheret mereka ke lembah kebinasaan justeru tamadun itu hanyalah tamadun material yang lompang dari unsur spiritual .

Tambahan pula , pakatan musuh Islam internasional meningkatkan penindasan mereka dengan gaya tindas yang lebih modern dan kejam , malah dewasa ini negara kita dilihat telah menyediakan satu bentuk tahaddiyat ( tentangan ) sengit yang sukar untuk mencari siapa penciptanya tetapi ia mara bagaikan taufan victoria yang memusnahkan .

Projek Taghribiyyah ( تغريبية ) atau pembaratan. Mensasarkan fikrah dan moral.

Projek Irtidadiyyah ( ارتدادية ) atau pemurtadan. Mensasarkan aqidah dan prinsip.

Pemalsuan demokrasi dan hak asasi . Mensasarkan politik dan social .

Pengkhianatan agihan dan hasil bumi . Mensasarkan ekonomi dan khazanah.

Penjarahan akta dan undang – undang . Mensasarkan kuasa dan pengaruh .

5 anasir tahaddiyat atau tentangan di atas menjanjikan arus ganas melanda ummah .

Tahanan ISA disiksa mental, maruah dan diri dihina

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
Merenung pengalaman saya ditahan dua kali di bawah ISA dan kemudian merengkok selama dua tahun di Kem Kamunting, saya dapat simpulkan enam tujuan paling utama kenapa ISA terus digunakan oleh kerajaan Umno-BN.

Pertama; tujuan ISA digunakan adalah untuk menanamkan rasa menyesal dan serik di kalangan tahanan kerana berani menentang kerajaan Umno-BN.

Ini dilakukan melalui proses soal-siasat 60 hari dan juga tahanan selama dua tahun atau lebih di Kem Kamunting.

Soal-siasat 60 hari biasanya dimulakan dengan menjatuhkan maruah tahanan, melakukan segala yang boleh menjadikan tahanan merasa dihina serta memaksa tahanan mengaku bersalah atau mewujudkan keadaan di mana tahanan merasakan telah melakukan kesalahan terhadap agama, bangsa dan negara.

Dalam keadaan penahanan dilakukan secara gempar dan trauma, orang tahanan dibawa ke balai polis untuk tujuan pentadbiran. Segala yang ada pada dirinya direkodkan. Baju, seluar, seluar dalam, sikat, kad pengenalan, dompet duit, duit syiling, duit kertas, tali pinggang, cermin mata dan sebagainya.

Bahan-bahan yang dirampas dari rumah atau pejabatnya akan dicatatkan satu persatu. Cap jari tahanan akan di ambil. Bukan hanya cap ibu jari sahaja yang diambil, tetapi setiap jari dan kemudian keseluruhan jari-jari tangan diambil. Ini dilakukan pada semua jari di kedua-dua belah tangan, kanan dan kiri.

Proses ini memakan masa yang panjang. Boleh mengambil masa hingga tiga jam!

Terpaksalah tahanan tadi menunggu selama itu pula di balai dengan penuh tanda tanya dalam dirinya sendiri. Pada ketika itu sudah pelbagai soalan berlegar dalam fikirannya.

Sesudah itu SB-SB yang menahan akan mengarahkan tahanan menanggalkan pakaian.

Kebanyakan tahanan yang ketika itu sedang berada dalam keadaan trauma, biasanya tidak membantah dan terus menanggalkan pakaian mereka.

Tindakan ini sebenarnya dilakukan oleh SB sebagai mengukur tahap ketahanan dan kecekalan tahanan. Jika baru diarah menangggalkan pakaian di balai pun, tahanan tersebut sudah jadi longlai dan terus akur kepada arahan, pastinya di bilik soal-siasat nanti dia akan lebih lembik dan longlai tidak bermaya lagi.

Setelah urusan di balai polis beres, tahanan akan digari, ditutup mata dan dibawa dalam sebuah kenderaan menuju ke tempat tahanan lain bagi proses soal-siasat.

Sampai di sana sekali lagi proses pentadbiran akan dijalankan. Sekali lagi seluruh cap jarinya diambil. Sekali lagi dia diarahkan untuk menanggalkan pakaiannya di depan SB dan polis.

Dia diberikan pakaian lokap dan diarahkan memakai pakaian tersebut dalam keadaan berbogel di depan SB dan polis.

Kalau semasa di balai tadi dia sudah lembik, maka di tempat tahanan dengan segala trauma yang telah diwujudkan itu, dia pastinya akan bertambah lembik.

Di tempat tahanan SB, maruahnya sudah tidak ada harganya lagi!

Ia terus dihina dengan tidak diberikan alas kaki, ditempatkan di sel yang kotor dan jijik, disindir, dimaki dan dilontarkan kata-kata yang kesat oleh pengawal-pengawal tempat tahanan dan sentiasa berada dalam keadaan kedua belah tangannya digari dan matanya ditutup pada bila-bila masa ia dibawa keluar daripada sel tahanan.

Tujuannya adalah untuk menghina tahanan dan menjadikan tahanan merasakan dirinya amat hina sekali.

Pengawal sel tahanan diarahkan oleh SB-SB agar menghempaskan pintu-pintu besi sel setiap kali keluar masuk. Tujuannya untuk menambahkan trauma dan kecut hati pada diri orang tahanan.

Bingit telinga dan bagai nak tercabut jantung orang tahanan dek seringnya pintu-pintu besi itu dihempas semasa dibuka dan ditutup.

Ia dilarang menyebut namanya sendiri. Ia hanya boleh menyebut nombor tahanannya kepada pengawal sel atau kepada SB-SB yang menyoal-siasat.

Setiap kali masuk ke bilik soal-siasat dipandu oleh pengawal sel dalam keadaan digari tangan dan ditutup mata, orang tahanan kena berkata: "Tuan, OT 220, melapor diri tuan".

Sering kedengaran pekikan yang kuat:"Apa macam pondan ni! Cakap kuat-kuat! Ulang sekali lagi!. Aku picit telur kau nanti baru tahu!"

Tahanan mengulang lebih kuat: "Tuan, OT 220, melapor diri tuan".

Ditengking oleh SB sekali lagi: "Bagus! Lain kali kalau cakap macam pondan aku londeh seluar engkau!"

Proses soal-siasat pula dilajankan dengan berulang-ulang. Soalan yang sama diulang-ulang berkali-kali. Kadang-kadang oleh pasukan SB yang sama. Kadangkala oleh satu pasukan SB yang baru.

Bosan. Sakit hati.

Biasa ditanya adalah berkenaan ceramah yang disampaikan. Segala-galanya mesti diceritakan kepada SB-SB itu. Siapa anjur? Berapa orang hadir? Siapa penceramah lain? Kamu datang dengan siapa? Naik apa? Sampai pukul berapa? Bertolak pukul berapa? Ikut highway mana? Pakai baju apa? Pakai kopiah atau pakai songkok? Apa kamu cakap? Apa penceramah lain cakap? Apa reaksi pendengar bila kami bercakap? Berapa banyak kamu dapat bayaran untuk bercakap? Berapa kali kamu takbir? Kamu laung Reformasi berapa kali? Apa slogan lain kamu guna?

Esoknya soalan yang sama diulang-ulang oleh pasukan SB yang sama atau pasukan SB yang lain!

Selepas itu datang pula seorang dua SB bertanya penceramah tadi berapa sm tinggi dia? Apa warna kulit dia? Rambut dia macam mana? Panjang ke pendek? Pakai spek ke tidak pakai spek? Apa jawatan dia dalam PAS? Apa jawatan dia dalam KeADILan? Dia orang kuat Anwar ke? Dia sokong Chandra ke sokong Wan Azizah?

Jika sebelum ditahan seseorang itu telah berceramah lebih dari 200 kali, maka berminggu-minggulah ia terpaksa berdepan dengan kerenah SB-SB tersebut menjawab soalan yang tidak dan kena mengena dengan keselamatan negara itu.

Setiap kali tahanan membantah bahawa semua ceramah itu dijalankan di atas nama parti politik yang sah. Maka SB-SB itu tidak memperdulikan bantahan tersebut. Mereka hanya menyatakan bahawa tahanan telah memudaratkan keselamatan negara dan dengan itu SB mesti dapatkan segala maklumat tentang apa yang telah diceramahkan oleh tahanan dalam ceramah-ceramah politiknya.

Sebenarnya tindakan tersebut tidak ada tujuan selain untuk menjadikan tahanan merasa serik dan menyesal kerana telah berceramah mengkritik dasar-dasar, program-program dan salahlaku kerajaan Umno-BN.

Itu saja!

Dosa tahanan mendedahkan penyelewengan Umno-BN di depan rakyat dalam ceramah-ceramah umum mesti dihukum oleh SB-SB melalui soal-siasat ISA yang panjang dan amat membosankan.

Memang tidak dinafikan saya sendiri pada ketika itu merasa bosan. Pada masa itu ada juga saya merasa serik dan menyesal terlibat dalam ceramah-ceramah mengkritik kerajaan Umno-BN.

Tambahan pula mereka secara halus sering bertanya adakah saya mahu terus berceramah jika dibebaskan nanti?

Saya faham maksud SB-SB yang bertanya seperti itu!

Ada juga di kalangan SB-SB itu yang lebih direct. Mereka terus nasihat dan pujuk saya agar jangan menyusahkan diri dan anak-anak isteri saya dengan terlibat lagi dalam ceramah-ceramah politik yang mengkritik kerajaan Umno-BN. Tumpu sahaja menjaga anak-anak dan isteri. Biar keluarga saya hidup bahagia. Kerajaan jaga semuanya baik. Jangan susah-susahkan diri dan keluarga saya!

Kalau mahupun kata mereka, terlibat hanya di peringkat NGO dengan mengemukakan syor-syor membina kepada kerajaan. Jangan buat bising menghentam kerajaan. Kerajaan ini guna hikmah dan rasional. Jika saya beri teguran secara baik kerajaan akan dengar dan laksanakan nasihat saya.

Lebih baik lagi, ceburkan diri dalam Umno. Buat perubahan melalui Umno. Itu lebih baik, kata mereka!

Hanya Umno boleh perintah, satu keyakinan yang merosakkan akidah

Ulang tahun Umno ke-60 (1946 – 2006). Maka berkata salah seorang veteran Umno, “ Saya sering mengingatkan anak-anak cucu saya bahawa hanya Umno dapat membantu golongan susah.”

Lelaki dari Johor itu, kini berusia 77 tahun, sudah uzur dan berkerusi roda. Beliau bukan dari kalangan kepimpinan tapi sebagai ahli biasa. Seperti juga dengan para fanatik Umno yang lain, menganggap satu-satu parti yang boleh menolong orang Melayu hanya Umno.

Sukarnya untuk mengikis persepsi seperti itu yang sudah lama mendampar dalam diri segelintir masyarakat Melayu, seumpama sukarnya untuk menghilangkan tabiat merokok bagi pencandu rokok.

Mantan Presiden PAS, Allahyaraham Ustaz Fadzil Nor semasa hayatnya pernah membayangkan kesukaran untuk membuang tanggapan salah yang membelenggu minda orang Melayu sekian lama - hanya Umno yang mampu memerintah.

Keberhasilan dari saranan sihat Ustaz Fadzil itu sangat hambar. Biarpun natijah dari saranan itu sebenarnya mengajak kepada kemurnian akidah. Namun para egonis dari Umno tetap berpaut pada dahan lama.

Kesan selanjutnya dari fahaman tersebut adalah seperti digambar dalam sebuah kisah. Suatu hari Khalifah Hisyam bin Abdul Malik dari Dinasti Umayyah naik ke atas mimbar di ibu kota Damsyik, menyeru sekalian rakyat, “ Wahai segenap penduduk negeri Sham! Allah telah membasmikan penyakit cacar, kerana kepimpinan ku.”

Sebelum khalifah mahu melanjutkan pidatonya, berdiri seorang lelaki dari kalangan pendengar, memotong pidatonya, “Wahai Amirul mukminin, benarkah bahawa rahmat Allah turun kepada kami kerana engkau?” katanya dengan sinis.

Pertanyaan daripada lelaki itu membuat sang khalifah bangkit dari egoan lalu berishtigfar!

Mereka yang hanyut dengan pemikiran seperti “veteran Umno” itu terdapat di mana-mana.

Walau pun terkadang mereka sedar, bahawa opini itu salah dari kaca mata Islam, kerana boleh terjerumus kepada kesyirikan, namun untuk membuangnya menjadi sukar disebabkan beberapa hal seperti kefanatikan kepada sesuatu fahaman atau doktrin. Selain dari diri sudah lama disemai oleh rasa ujub dan takbur.

Kisah Titanic yang terkenal itu, merupakan sebuah potret paling jelas tentang teknologi yang menghasilkan rasa ujub dan takbur, yakni kekaguman segelintir manusia pada kehebatan dirinya sendiri bersama teknologi canggih yang berjaya dihasilkan, sehingga membuat mereka kehilangan akal sihat, lalu menyangka kemampuan manusia boleh menandingi kemahakuasaan Tuhan.

“Inilah kapal yang tidak boleh ditengelamkan oleh apa pun,” kata para pengagum Titanic, saat kapal itu melakukan pelayaran dari South Hamton (England) menuju New York (Amerika Syarikat), pada 14 April 1912.

Di saat kapal mewah yang memuat 2,235 orang penumpang melintasi samudera Atlantik, dan mulai memasuki wilayah perairan Kanada, Allah mencabar keegoan dengan menghadang mereka melalui bongkah air batu yang mengepung di tengah laut.

Dilanggar bongkah besar itu, akhirnya kapal raksasa pecah dan hancur berkecai. Air segera memenuhi seluruh ruang yang ada, lalu berhala teknologi itu pun tengelam di laut dingin, bersemayam selamanya di dasar laut, empat kilometer dari permukaan , bersama para penumpangnya.

Bagi Allah menenggelamkan berhala teknologi seperti Titanic adalah perkara yang teramat mudah.

Tujuan tauhid adalah menidakkan komitmen terhadap selain Allah SWT. Sedangkan syirik adalah pencampuran komitmen kepada Allah dengan komitmen kepada selain-Nya.

Menganggap hanya Umno boleh memberi “kesenangan” kepada orang Melayu merupakan suatu tanggapan yang boleh merosakkan akidah seseorang dan perlu dibuang jauh-jauh. - mks

Kisah murah rezeki

Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah.

Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki.

Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?" Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan rubahlah roman mukamu. Kau tahu, Rasulullah adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria.

Sebab menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh.

Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya senantiasa mengulum senyum bersahabat. Roman mukanya berseri.

Tidak hairan jika Imam Hasan Al-Basri berpendapat, awal keberhasilan sesuatu pekerjaan adalah roman muka yang ramah dan penuh senyum. Bahkan Rasulullah menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya. Demikian pula seorang suami atau seorang isteri.

Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, fikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat diatasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang di dalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Tuesday, May 16, 2006

Adalah bodoh untuk Nazri berkata pembantah IFC bodoh

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - "Jika Nazri mengatakan pembantah sebuah forum anjuran IFC (Suruhanjaya Antara Kepercayaan/Agama) sebagai bodoh, adalah terlalu bodoh bagi Nazri untuk menuduh demikian kerana masakan dia tidak tahu motif perjuangan IFC selama ini," kata Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keceluparan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Nazri Aziz yang menyifatkan kumpulan pembantah forum anjuran IFC di Pulau Pinang Ahad lalu sebagai bodoh.

Beliau berkata Nazri sebenarnya sudah mengetahui dan banyak menerima laporan mengenai kumpulan ini (IFC) dan seharusnya menunjukkan pendiriannya yang sebenar tanpa berselindung di sebalik kumpulan yang mengaku mempertahankan hak asasi itu.

"Nazri sekarang ini kena tunjukkan pendiriannya, jangan berselindung di sebalik kumpulan tersebut (IFC). Beliau kena isytiharkan bahawa sebenarnya beliau turut bersama dalam kumpulan ini. Ini merupa provokasi dan propaganda Nazri.

"Ini bukan soal yang remeh. Ini merupakan soal yang melibatkan orang Islam. Kumpulan ini memang cuba mengancam akidah orang Islam," katanya.

Nazri dalam kenyataannya yang disiarkan akhbar tempatan hari ini mengatakan tindakan kumpulan yang membantah dan menggagalkan forum tersebut sebagai tindakan bodoh.

Beliau juga menganggap tidak menjadi satu kesalahan bagi IFC dalam mengadakan forum tersebut.

Kelmarin lebih 1,000 orang membantah forum anjuran IFC itu di pekarangan sebuah hotel di Pulau Pinang.

Bantahan aman selama dua jam bermula 8.45 pagi itu diketuai bersama Pengerusi Badan Anti-IFC (Badai) Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Haji Azmi Abdul Hamid.

Mereka akhirnya berjaya membatalkan majlis mendapatkan tandatangan menyokong IFC oleh NGO dan Aliran Kesedaran Negara (Aliran).

Antara ahli panel forum terbuka bertajuk 'Federal Constitutions Protection For All' itu ialah Pengarah Eksekutif Awam, Honey Tan Lay Ban; Presiden Aliran, P Ramakrishnan; Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Shad Saleem Faruqi; Lawyer On Constitutional Matters, Malik Imtiaz dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim.

Sementara itu, Mazlan juga berkata, Pemuda PAS bersedia serta turut menyokong mana-mana pihak termasuk NGO yang mempertahankan Islam.

"Pemuda PAS akan menentang habis-habisan sebarang percubaan yang mewujudkan susasana tidak tenteram serta menimbulkan kesangsian pada Islam. Ini termasuklah penyebaran propaganda bagi mencabuli hak sultan sebagai ketua agama serta segala tuntutan oleh IFC ini," katanya.

Isu Shahrir bukti kelemahan Abdullah - Ustaz Hadi

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan peletakan jawatan Dato' Shahrir Samad sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) salah satu bukti jelas kelemahan ketara kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Hal ini lebih buruk daripada zaman (PM) Mahathir (Mohamad) kerana lemahnya kebijaksanaan dalam mengenalikan isu-isu tertentu dengan mengambil jalan mudah dan drastik contohnya isu harga minyak antarabangsa yang mana tindakannya menaikkan harga minyak memerah wang rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sikap 'pak turut' pimpinan BN terbukti selepas sokongan Shahrir terhadap usul yang dibentangkan oleh pembangkang di Parlimen menjadi satu kesalahan kepada BN, katanya.

"'Prinsip suci' ahli BN dalam menolak usul pembangkang menampakkan kepimpinan Abdullah seolah-olah bagai diktator kerana menggunakan kuasa vetonya sebagai Perdana Menteri.

"Sikap ini bercanggah dengan Islam dan amalan demokrasi di Malaysia. Prinsip demokrasi di Barat sekali pun menerima pandangan pembangkang dan ahlinya tidak akan dikenakan tindakan disiplin," katanya.

Menurut beliau, kerajaan sekarang lemah dalam mempertahankan Islam.

Ini terbukti dengan wujudnya golongan tertertu yang sanggup mempertikaikan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Ditanya adakah prinsip suci ini akan dipertahankan selepas era Abdullah, Tuan Guru Abdul Hadi berkata: "Kita tunggu sekiranya berlakunya perubahan pada zaman penggantinya."

Abdullah gagal bela Islam

Mon | May 15, 06 | 12:19:04 PM
Oleh Khairul Azlam Mohmad KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Hrkh) - Ahli Majlis Tertinggi Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Dr Badrul Amin Baharom berkata, kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Badawi gagal menjaga kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Bahkan, katanya pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu lebih bertindak bagi menyekat golongan yang mahu melaksanakan kerja-kerja Islam.

“Pemimpin negara yang ada hari ini di bawah Pak Lah Badawi gagal menjaga agama dan orang Melayu. Kita minta tolonglah supaya dia (Abdullah) jangan halang, sekat orang yang hendak buat kerja-kerja agama ini,” ujarnya ketika berucap pada Ceramah Pelancaran Dana Pilihan Raya di Pasti Mengabang Tengah Batu Burok, baru-baru ini.

Katanya, Umno telah gagal menjaga kepentingan agama dan umat Islam di negara ini meski pun menjadi tulang belakang kerajaan BN.

Menurutnya, pelbagai isu yang menyentuh kredibiliti agama dan umat Islam berlaku di bawah kepimpinan kerajaan Islam Hadhari hari ini.

“Kredibiliti agama dan umat Islam tercemar dengan isu-isu murtad, memorandum menteri kabinet Artikel 121(A), IFC yang dibawa oleh Sisters in Islam, kumpulan Artikel 11 (kebebasan beragama), gejala sosial yang kronik, penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dengan lukisan kartun, arak, dadah dan perjudian,” jelasnya.

Di samping itu, katanya, wujud pula kumpulan Artikel 11 bagi menuntut kerajaan meluluskan undang-undang kebebasan beragama tanpa mengira bangsa di negara ini.

Menurutnya, golongan tersebut meminta kerajaan memberikan kebenaran terhadap semua orang bebas memilih agama masing-masing.

“Jika kerajaan Islam Hadhari ini meluluskan undang-undang itu, sekarang ada 250 ribu orang Melayu yang beragama Islam mahu murtad,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa Islam membenarkan kebebasan beragama itu selagi tidak mengganggu gugat penganut beragama Islam.

Justeru itu, katanya pemimpin Umno yang ada hari ini tidak serius bagi menentang kejahatan, kemungkaran serta maksiat yang berlaku dalam negara.

Saturday, May 06, 2006

Kewajipan untuk kembali kepada Islam

"Allah berfirman:وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون:(سورة الذاريات:56)
Maksudnya:Dan tidaklah aku jadikan manusia dan Jin kecuali supaya mereka beribadat kepadaku.
FirmanNya lagi:واعبدوالله ولا تشركوا به شيئا،وبالوالدين إحسانا(سورة النساء:36)
Maksudnya:Sembahlah Allah dan jangan syirik kepadanya serta berbuat baiklah kepada kedua ibu dan bapa.
Kedua-dua ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kewajipan sebenar kita untuk patuh dan taat serta kembali kepada sistem dan cara hidup yang diatur oleh Allah sebagai Tuhan kepada sekalian alam.

Kewajipan Kembali Kepada Sistem Hidup Islam

Penulis terlebih dahulu memohon ampun kepada Allah dan berharap tulisan ini memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya.Penulis muhasabah dirinya dengan merenung Firman Allah:يا أيها الذين ءامنوا لم تقولون ما لا تفعلون،كبر مقتا عند الله أن تقولون ما لا تفعلون

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman,janganlah kamu mengatakan suatu yang kamu tidak buat,Allah sangat murka kepada kamu yang bercakap suatu yang kamu tidak melakukannya.(سورة الصف:1)

Allah berfirman:وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون:(سورة الذاريات:56)

Maksudnya:Dan tidaklah aku jadikan manusia dan Jin kecuali supaya mereka beribadat kepadaku.

FirmanNya lagi:واعبدوالله ولا تشركوا به شيئا،وبالوالدين إحسانا(سورة النساء:36)

Maksudnya:Sembahlah Allah dan jangan syirik kepadanya serta berbuat baiklah kepada kedua ibu dan bapa.

Kedua-dua ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kewajipan sebenar kita untuk patuh dan taat serta kembali kepada sistem dan cara hidup yang diatur oleh Allah sebagai Tuhan kepada sekalian alam.

Hendaklah kita sedar dan faham bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap yang merangkumi di dalamnya seluruh aspek kehidupan yang mengatur hubungan kita dengan pencipta dan sesama makhluk.

Saya ‘merajinkan’ diri menulis makalah ini setelah melihat ramai di kalangan umat Islam termasuklah lulusan-lulusan universiti yang menjadi musuh Islam dari dalam akibat tidak memahami ajaran Islam yang sebenar ataupun kerana nipisnya iman dan takwa mereka kepada Allah.Mereka berjuang konon-kononnya di atas dasar human right,liberal dan sebagainya.Sedangkan Islam merupakan agama yang mengiktiraf hak-hak dan kebebasan manusia cuma hak-hak dan kebebasan itu dikawal supaya sesuai dengan fitrah sebagai seorang insan.

Islam menyuruh kita menutup aurat supaya maruah kita terpelihara dan membezakan kita dengan binatang yang yang tidak dikurniakan akal serta perasaan malu.Pada hari ini kita melihat ramai dikalangan umat Islam yang berpakaian tetapi zahirnya seperti tidak berpakaian.

Nabi S.A.W bersabda:صنفان من أهل النار لم أرهما،قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس،ونساء كاسيت عاريات مائلات مميلات،رؤوسهن كأسنمة البخت المائلة،لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها،وإن ريحها ليوجد من مسيرة كذا وكذا.(رواه مسلم)

Maksudnya:Dua golongan dari ahli neraka yang yang aku tidak sempat bersama mereka,satu kaum yang ada bersama mereka cemeti seperti ekor lembu,mereka memukul orang ramai dengannya dan golongan wanita yang berpakaian seperti tanpa pakaian,mereka mengoda dan menyebabkan orang tergoda,di kepala mereka seperti bonggol unta,mereka tidak dapat masuk syurga,malah tidak dapat menghidu baunya,sesungguhnya bau syurga dapat diketahui dari jarak sekian dan sekian.

Marilah sama-sama kita merenung hadis ini berdasarkan neraca iman dan takwa.Kita tidak mahu perjalanan hidup kita di dunia ini menjadi satu persinggahan yang tidak memberi sebarang makna untuk kehidupan selepas mati yang kekal abadi.Janganlah nafsu serakah yang menjadi pertimbangan hidup yang seterusnya membawa kita ke arah kebinasaan.

Nabi S.A.W bersabda:لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لما جئت به.

Maksudnya:Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah hawa nafsunya tunduk dengan ajaran yang aku bawa.

Firman Allah:وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم.(الأحزاب:36)

Maksudnya:Dan tidak patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan mukminah,apabila Allah dan rasulnya telah menetapkan satu ketetapan,membuat pilihan yang lain bagi urusan hidup mereka.

Saya ‘merajinkan’ diri saya merujuk kitab tafsir untuk mencari sebab turun ayat ini.Ibnu Abbas meriwayatkan,suatu hari Rasulullah meminang Zainab Binti Jahshy untuk Zaid Bin Harithah,Pinangan ini telah ditolak oleh Zainab Binti Jahshy,lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyebabkan Zainab Binti Jahshy akur dan menerima pinangan tersebut.

Kalaulah hanya kerana menolak pinangan Nabi untuk sahabatnya menyebabkan Allah menurunkan ayat yang menyeru supaya seorang mukmin atau mukminah tunduk serta redha dengan apa jua ketetapan Allah dan RasulNya,apalagi golongan yang membelakangkan sistem atau cara hidup Islam dan memilih sistem dan cara hidup yang di atur oleh barat.Mereka menganggap konon-kononnya cara hidup yang di atur Islam ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan zaman yang serba canggih ini.Padahal Islam sesuai dengan semua zaman dan ketika zaman gemilangnya pernah membentuk suatu ketamadunan yang unggul dan tiada tolak bandingnya.

Sejarah mencatatkan bagaimana dunia barat sendiri banyak menceduk kemajuan yang di bawa oleh umat Islam.Ketika era kegemilangan Andalus suatu ketika dulu,ramai di kalangan pelajar-pelajar barat yang menuntut ilmu duniawi di Andalus dan membawa pengaruh ketamadunan Islam ke negara mereka.Barat begitu tertarik dengan kemajuan ilmu yang dicapai oleh umat Islam,seperti sistem paip air yang menakjubkan di masjid Cordowa dan peristiwa Khalifah Harun Al-Rasyid menghantar hadiah jam waktu kepada Chalmegne,seorang Raja Perancis.Mereka juga terpesona dengan hospital-hospital yang didirikan di bandar-bandar Islam.Sehinggakan pada peringkat awal dunia barat menyangka teknologi yang di bawa oleh orang Islam merupakan sihir.

Umat Islam sekarang menjadi lemah tidak bermaya kerana penganutnya tidak mahu kembali kepada sistem hidup Islam yang tulen.Penulis ingin memetik kata-kata yang pernah diucapkan oleh Saidina Umar Al-khattab:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام،فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله اذلنا الله.

Maksudnya:Kitalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam,sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada yang Allah muliakan ini,Allah akan menghinakan kita.

Kita juga melihat ramai di kalangan pemerintah negara umat Islam pada hari ini membelakangkan sistem dan peraturan Allah lalu memilih sistem yang di atur oleh manusia sebagai dasar negara.Tidakkah mereka membaca firman Allah,

أفحكم الجاهلية يبغون،ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون:(المائدة:50)

Maksudnya:Apakah peraturan dan sistem jahiliyyah yang mereka cari? Siapakah yang lebih baik dari Allah dalam mengadakan hukum bagi mereka yang yakin?

Penulis cukup tertarik dengan penjelasan yang di bawa Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat ini:(Allah taala menolak mereka yang tidak menerima sistem Allah yang sempurna atas semua kebaikan,yang mencegah segala keburukan,mereka cenderung kepada pandangan dan hawa nafsu serta istilah-istilah yang dicipta oleh manusia tanpa bersandarkan kepada syariat Allah seperti yang dilakukan oleh golongan Jahiliyyah yang menghukum berdasarkan kepada kesesatan dan kebodohan.Seterusnya Ibnu Kathir membawa kisah Kerajaan Tatar yang dipimpin oleh Jankazkhan yang mencipta perlembagaan ‘Yasaq’yang dicampur aduk dari ajaran Yahudi,Kristian,Islam dan lain-lain.Banyak daripada undang-undang yang dicipta itu semata-mata berdasarkan pandangan dan hawa nafsu.Maka peraturan yang dicipta itu telah menjadi undang-undang yang diikuti lalu Al-Quran dan Sunnah Nabi tidak lagi menjadi dasar kehidupan.Ibnu Kathir juga menghukum golongan yang mencipta dasar tersebut sebagai Kafir dan wajib diperangi sehinggalah mereka kembali kepada Hukum Allah.)

Apakah bezanya perlembagaan ‘Yasaq’ ini dengan perlembagaan ciptaan manusia yang digunapakai oleh banyak negara Islam pada masa kini?Oleh itu usaha untuk mengembalikan sistem dan cara hidup Islam yang menyeluruh adalah sangat penting kerana itulah sebenarnya merupakan peranan dan tanggungjawab utama kita sebagai hamba kepada Tuhan Yang Esa.Wallahu A’lam.

MB Pahang patut berguru dengan MB Kelantan

Dewan Undangan Negeri Pahang baru-baru ini telah menyaksikan satu aksi dan kelakuan menjijikkan daripada seorang ahli dewan yang juga merupakan seorang Menteri Besar. Di dalam dewan yang mulia tersebut, MB Pahang telah mengeluarkan perkataan yang biadap, tidak bermoral dan menjijikkan terhadap wakil media. Kemarahan beliau terhadap media yang kononnya memutar belitkan kata-kata beliau menjadikan MB Pahang ketika itu seperti seorang yang tidak berakal dan tidak waras.

Lebih mendukacitakan, di dalam dewan ketika itu terdiri daripada ramai kakitangan awam dan kerajaan serta pelajar-pelajar. Sudah tentu pelajar-pelajar ingin menyaksikan satu perbahasan atau hujah yang bernas, berilmu serta berakhlak daripada ahli-ahli politik yang berada di dewan. Kebijaksanaan ahli-ahli politik boleh dilihat semasa ucapan serta perbahasan mereka di dewan dan itulah yang ingin ditonton oleh para pelajar. Namun, sebaliknya yang berlaku mereka telah dipertontonkan dengan aksi serta perkataan yang biadap dan tidak berakhlak daripada pemimpin mereka. Jika itulah yang ingin dihidangkan kepada para pelajar, mereka tidak perlu bersusah payah untuk memasuki dewan yang mulia itu. Kelakuan dan ucapan seperti `samseng kampung' seperti itu boleh didapati di mana-mana.
Media telah menjadi sasaran terutamanya akhbar utusan. Akhbar tersebut sebenarnya telah lama berbakti kepada UMNO dan pemimpin-pemimpinnya terutamanya menjelang pilihanraya. Jasa akhbar tersebut juga banyak membantu UMNO Pahang berhadapan dengan pembangkang. Tetapi, apabila jasa telah diberi, pemimpin telah dinaikkan, pemimpin mula bongkak dan ego. Ungkapan `pergi jahanam' kepada media seolah-olah media langsung tidak bernilai lagi di sisi MB Pahang.

Adakah media bersalah di dalam melaporkan berita yang membuatkan MB Pahang `kerasukan'? Apakah media tidak melaporkan yang benar? Dan semenjak bila media terutamanya utusan tidak pernah melaporkan yang tidak benar? Hairankah kita bila akhbar utusan berbohong? MB Pahang berkata, petikan yang dikeluarkan oleh akhbar utusan baru-baru ini adalah satu `kemungkaran'. Mungkin kemungkaran yang dimaksudkan dan yang ingin dicegah oleh MB Pahang tersebut tidak sama atau lebih besar dari kemungkaran yang ada di pusat perjudian di Genting. Bagi pemimpin pembangkang, pembohongan di dalam berita-berita di media negara ini adalah lazim dan seolah-olah menjadi pra-syarat untuk beroperasi di negara ini. Cuma, MP Pahang baru mengerti dan kenal apa itu media di Malaysia. Dan, sebagai pemimpin politik, MB Pahang tidak cukup kekebalan dan ketahanan diri.

Itulah hikmahnya Allah tidak lagi membuka pintu hati MB Pahang untuk bersama dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Apa yang dialami oleh pemimpin-pemimpin PAS jauh lebih hebat daripada yang dialami oleh MB Pahang tersebut. Apa yang tidak pernah diperkatakan oleh media terutamanya akhbar utusan terhadap PAS dan pemimpinnya? MB Kelantan sudah lali dengan kerenah akhbar utusan dan beliau pun faham sememangnya itu kerja akhbar tersebut. Bahkan, lebih dahsyat dari itu lagi, anak MB Kelantan sendiri terpenjara akibat fitnah dan masih difitnah walaupun di dalam penjara. Jika ini berlaku ke atas MB Pahang, saya tidak tahu apa akan jadi kepada pemimpin utama UMNO Pahang tersebut. Begitulah bila pemimpin itu naik ke puncak kekuasaan tanpa diuji mereka akan lemah selemahnya. Begitulah bila selama ini terlalu bergantung kepada media bukan kerana kekuatan kerohanian dan keimanan, mereka akan menjadi tidak waras bila media seolah-olah tidak lagi bersamanya.

Sehubungan itu, tidak terlalu lewat untuk MB Pahang bertemu dan menuntut dengan MB Kelantan bagaimana untuk menguatkan kerohanian. Sungguh malang sekali rakyat Pahang yang selama ini berbangga dengan ketokohan dan kejaguhan Tok Gajah dan Pahlawan Mat Kilau, tetapi kini hanya mampu bernaung di bawah pemimpin yang `berhati nyamuk dan berjiwa tikus'. Kepada media-media, seronokkah anda `mengusik' seorang pemimpin politik yang seperti ini?


ZULHAZMI NS

Dato' Shahrir dinobat wira, Abdullah pula lemah

Harakahdaily MACHANG, 5 Mei (Hrkh) - Dato' Shahrir Samad hari ini dinobat sebagai wira kerana mampu mempertahankan integritinya, namun sebaliknya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dianggap cukup lemah dan kurang bermaya.

Semangat keperwiraannya terserlah biar pun hasrat murni mempertahankan integriti negara 'dipersendakan' wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) lain. Bagi pembangkang dan orang ramai anggota parlimen Johor Bahru itu dianggap mempunyai ketulenan perjuangan.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, Presiden Umno sekali lagi menerima tamparan hebat apabila orang kanannya sanggup mempertahankan kejujuran bagi memperlihatkan sebuah kerajaan yang berkualiti, namun malangnya ia ditolak majoriti pemimpin BN lain.

"Sedangkan sebelum ini Perdana Menteri melaung-laung mahukan sebuah kerajaan yang telus, bersih daripada segala elemen rasuah, namun apabila usaha Shahrir mahu merujuk kes seorang anggota parlimen ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ia tidak pula mendapat sokongan anggota-anggota Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) BN.

"Tindakan Shahrir adalah untuk mempertahankan integriti kerajaan yang ada sekarang, namun gagal kerana pemimpin BN lain mempunyai pandangan berbeza. Dalam isu ini Pengerusi BBC BN adalah seorang wira," katanya selepas menyampaikan ceramah di Kampung Pek Timur, dekat sini, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 50 ahli Umno dari Cawangan Kampung Pek Timur, Pangkal Mempelam dan Kampung Raja menyerah borang menyertai PAS kepada Husam. Ia diketuai Pengerusi Tetap Umno Pek Timur, Abdul Wahad Abbas.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Machang, Dato' Hassan Muhammad, Adun Kemuning, Haji Zakaria Yaakub, Penyelia Parlimen Machang, Ustaz Abdul Rahman Salleh dan Setiausaha PAS kawasan, Abdul Kadir Othman.

Semalam Shahrir mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi BBC BN apabila pendiriannnya menyokong usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkaitan tindakan seorang anggota Parlimen BN didakwa campur tangan urusan dalaman Jabatan Kastam ditolak majoriti anggota parlimen BN termasuk menteri.

Usul itu timbul sebagai respon terhadap laporan akhbar yang bertajuk 'Customs Ignore MP's Request' di mana seorang anggota Parlimen BN didakwa meminta Jabatan Kastam "tutup sebelah mata" dalam satu kes melibatkan kayu balak yang diimport seorang usahawan, dari negara jiran.

Husam berkata, sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memperlekehkan kepemimpinan Abdullah kerana tidak konsisten apabila menolak pembinaan jambatan indah di Johor.

"Sedangkan jambatan itu dipertahankan Perdana Menteri sendiri pada Febuari lalu, bagaimanapun sekarang bertukar menjadi sebaliknya sehingga hampir RM100 juta wang rakyat terpaksa dikorbankan untuk dibayar kepada kontraktor yang diberi tanggungjawab membina kerja-kerja awal jambatan terbabit," ujarnya.

Pengerusi BBC PAS Kelantan, Haji Zakaria Yaakub berkata, kecelaruan kepemimpinan Perdana Menteri sekarang mulai terserlah dan beliau gagal dalam banyak tindakannya sebelum ini.

Penyelia Parlimen Kuala Krai, Ustaz Zamzuri Mat Lazim berpendapat sudah sampai masanya Shahrir meninggalkan perjuangan lama kerana ia ternyata tidak serasi dengan kejujuran yang dimilikinya.